logo-jata-ketengah

PORTAL RASMI

LEMBAGA KEMAJUAN TERENGGANU TENGAH

Karung Berkunci No 3, 23400,
Al Muktafi Billah Shah, Terengganu

Tel : 098231000 | Emel : ketengah@ketengah.gov.my

Majlis Sambutan Maulidur Rasul Wilayah KETENGAH 1447H/2025M Disambut Meriah

Majlis Sambutan Maulidur Rasul Wilayah KETENGAH 1447H/2025M telah berlangsung dengan penuh meriah dan disertai daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Perarakan bermula dari Masjid Sultan Mahmud, Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS) dan berakhir di Balai Orang Ramai (BALORA) dengan jarak sejauh 4 kilometer. Tahun ini, sebanyak 35 pasukan telah menyertai perarakan dan tiga kategori dipertandingkan iaitu JPKKP/Komuniti Penduduk, SMK/SRK/Tahfiz, dan Agensi/Ladang/Syarikat.

Program ini menjadi wadah untuk menghayati peristiwa agung kelahiran Nabi Muhammad S.A.W, insan mulia sepanjang zaman yang menjadi cahaya penyuluh kehidupan umat Islam. Selain itu, sambutan ini turut berperanan memupuk perpaduan, memperkukuh keharmonian serta mempererat hubungan antara KETENGAH dan penduduk wilayah dalam usaha membangunkan masyarakat luar bandar.

Pengurus Besar KETENGAH, YM Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuk jabatan dan agensi, JPKKP, sekolah, anak syarikat, pegawai serta kakitangan KETENGAH, dan seluruh penduduk wilayah.

“Sambutan ini diharap dapat menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara KETENGAH dan penduduk wilayah, serta memperteguh semangat kebersamaan dalam merealisasikan agenda pembangunan ummah,” katanya. Beliau turut menyeru agar masyarakat memperbaharui tekad untuk mencontohi akhlak Rasulullah S.A.W, sekali gus menyumbang kepada kejayaan Gagasan Ummah Madani.

Kegembiraan jelas terpancar pada wajah semua kontinjen yang bertanding apabila Pengurus Besar KETENGAH mengumumkan penambahan hadiah kemenangan. Hadiah bagi tempat pertama dinaikkan daripada RM700 kepada RM1,000, tempat kedua daripada RM500 kepada RM700, manakala tempat ketiga daripada RM300 kepada RM500. Penambahan ini mencerminkan keprihatinan pihak KETENGAH serta penghargaan terhadap semangat berpasukan dan komitmen tinggi yang telah ditunjukkan oleh semua peserta sepanjang program berlangsung.

Tahniah kepada semua pemenang dan terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus lumus menjayakan program ini.

“Membangun Ummah Madani”