KETENGAH turut memeriahkan Program Hari Bertemu Pelanggan & Sambutan Hari Raya KKDW Peringkat Negeri Terengganu yang dianjurkan oleh Pejabat Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Negeri Terengganu.
Majlis ini telah diadakan bertempat di Wedding Place by Villa Padu, Kampung Serada dengan kerjasama daripada jabatan dan agensi di bawah KKDW Negeri Terengganu iaitu MARA, FELCRA, RISDA, KEMAS, KETENGAH, JAKOA dan GIAT MARA.
YB Datuk Hajah Rubiah Haji Wang, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah telah meluangkan masa hadir menyempurnakan program ini.
YB Datuk berkata,“ Saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak urus setia yang telah menjayakan majlis kita pada hari ini. Selain daripada menyemarakkan semangat Syawal, medan ini merupakan platform terbaik untuk kita berkumpul bagi mengukuhkan silaturrahim di antara warga kerja KKDW di Negeri Terengganu”.
“Saya mewakili warga kepimpinan kementerian ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aildilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh warga kerja KKDW Negeri Terengganu serta semua yang hadir. Semoga kita semua sentiasa dirahmati Allah dan dipermudahkan dalam setiap urusan yang dijalankan”.
Pada Majlis yang sama YB Datuk Hajah Rubiah Haji Wang turut menyerahkan sebanyak RM900,000 kepada 3 orang usahawan melalui Skim Pembiayaan Perniagaan Mudah Jaya (SPiM) di bawah kelolaan MARA.
YM Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa, Pengurus Besar KETENGAH hadir dalam majlis tersebut bersama-sama barisan Pengurusan dan pegawai KETENGAH.
Sempena dengan majlis ini diadakan juga pertandingan gerai terbaik dan pertandingan karaoke bagi memeriahkan lagi majlis. Gerai KETENGAH telah mendapat tempat kedua dalam pertandingan berkenaan.