PROGRAM PSIKOLOGI "SEIRAMAKAH KITA?" KEPADA PEGAWAI DAN KAKITANGAN KETENGAH TAHUN 2026

8 Julai 2026 – Bahagian Pentadbiran dan Pengurusan Sumber Manusia KETENGAH dengan kerjasama AKRAB KETENGAH dan PUSPANITA Cawangan Kecil KETENGAH telah menganjurkan Program Psikologi "Seiramakah Kita?" Kepada Pegawai dan Kakitangan KETENGAH Tahun 2026 yang berlangsung di Kelab Golf Bukit Besi, Dungun.
Program yang disertai oleh 60 orang pegawai dan kakitangan KETENGAH serta beberapa barisan Pengurusan KETENGAH merupakan salah satu inisiatif KETENGAH dalam kesejahteraan psikologi warga kerja, meningkatkan keberkesanan komunikasi serta memupuk budaya kerja yang lebih harmoni, saling menghormati dan menghargai antara satu sama lain.
Penganjuran program ini juga merupakan usaha berterusan KETENGAH dalam memperkasakan pembangunan modal insan serta menyokong pembentukan budaya kerja yang positif dan berprestasi tinggi. Inisiatif ini turut mengambil kira maklum balas dan cadangan yang dibangkitkan melalui platform perbincangan daripada NGO's KETENGAH khususnya berkaitan kepentingan meningkatkan penghargaan sesama warga, memperkukuh persefahaman serta mewujudkan persekitaran kerja yang lebih kondusif dan inklusif. Sehubungan itu, program ini diadakan sebagai pendekatan proaktif bagi memperkukuh hubungan interpersonal dan semangat kebersamaan dalam kalangan warga KETENGAH.
Ceramah telah disampaikan oleh Encik Mohd Yusnoruddin bin Mohd Yuznah, Pegawai Psikologi, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, yang berkongsi pelbagai pendekatan dan amalan terbaik berkaitan psikologi organisasi, komunikasi interpersonal, pengurusan emosi serta pembinaan hubungan kerja yang lebih positif dan berkesan.
Bagi memastikan penyampaian lebih interaktif dan memberi impak kepada para peserta, program turut diselitkan dengan beberapa aktiviti menarik seperti "Kita Satu Pasukan", Role Play: Love Language di Tempat Kerja dan Dalam Keluarga, serta Sesi Perkongsian "Dulu, Kini dan Akan Datang". Melalui aktiviti-aktiviti ini, para peserta didedahkan kepada kepentingan memahami gaya komunikasi dan bahasa penghargaan setiap individu, membina kepercayaan dalam pasukan, serta mengukuhkan hubungan bukan sahaja dalam organisasi, malah bersama ahli keluarga.
Majlis Perasmian Penutupan telah disempurnakan oleh Tuan Haji Mohd Radzi bin Md Noor, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) KETENGAH, yang hadir diiringi oleh To' Puan Anizal binti Yusoff, Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kecil KETENGAH.
Dalam ucapan beliau, Tuan Haji Mohd Radzi bin Md Noor menekankan bahawa kecemerlangan sesebuah jabatan bukan sahaja bergantung kepada kecekapan melaksanakan tugas, malah turut dipengaruhi oleh kekuatan hubungan sesama warga kerja. Beliau berharap agar ilmu dan pengisian yang diperoleh sepanjang program ini dapat diterapkan dalam tugasan harian bagi mewujudkan budaya kerja yang lebih positif, saling menyokong dan berteraskan semangat kebersamaan.
Bahagian Pentadbiran dan Pengurusan Sumber Manusia KETENGAH komited untuk terus melaksanakan pelbagai program pembangunan modal insan yang memberi nilai tambah kepada warga kerja, bukan sahaja dari aspek peningkatan kompetensi dan profesionalisme, malah turut memberi penekanan kepada kesejahteraan psikologi, kecerdasan emosi dan pembentukan budaya kerja yang sihat. Usaha ini diharapkan dapat melahirkan warga KETENGAH yang lebih berdaya saing, berintegriti, saling menghargai serta mampu memberikan penyampaian perkhidmatan yang berkualiti kepada pelanggan dan masyarakat.
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada AKRAB KETENGAH, PUSPANITA Cawangan Kecil KETENGAH, Encik Mohd Yusnoruddin bin Mohd Yuznah selaku penceramah, urus setia serta seluruh peserta atas komitmen dan kerjasama yang telah diberikan dalam menjayakan program ini. "Apabila komunikasi diperkukuh, persefahaman dipupuk dan semangat berpasukan diperkasa, KETENGAH akan terus melangkah seiring ke arah organisasi yang cemerlang dan berprestasi tinggi."





