KETENGAH PERKUKUH BUDAYA KERJA BERIMPAK DAN BERAKAUNTABILITI

DUNGUN, 26 Julai 2026 – KETENGAH terus memperkukuh budaya kerja berteraskan impak dan akauntabiliti menerusi amanat yang disampaikan sempena Majlis Perhimpunan Bulanan KETENGAH Kali Ke-3 yang berlangsung di Balai Orang Ramai (BALORA), hari ini.
Majlis yang menghimpunkan seluruh pegawai dan kakitangan KETENGAH serta anak-anak syarikat itu dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan KETENGAH Bersama Membangun, diikuti bacaan doa serta penyampaian penghayatan hadis oleh Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KETENGAH, Tuan Haji Mahdi Amin bin Ahmad. Turut diadakan tayangan video yang memaparkan aktiviti dan pencapaian KETENGAH sepanjang tempoh Mei hingga Julai 2026.
Berucap pada majlis tersebut, Pengurus Besar KETENGAH, YM Dato' Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa, berkata organisasi kini telah memasuki pertengahan tahun, sekali gus menjadi tempoh yang sesuai untuk menilai semula pencapaian dan keberkesanan pelaksanaan program serta inisiatif yang telah dirancang.
Beliau berkata, pelaksanaan Semakan Pertengahan Penggal yang diarahkan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di peringkat kementerian boleh dijadikan panduan oleh KETENGAH dalam menilai prestasi organisasi secara lebih menyeluruh.
Menurut beliau, semakan tersebut bukan sekadar menilai tahap pelaksanaan program, malah menjadi cerminan kepada keberkesanan KETENGAH sebagai sebuah Agensi Pembangunan Wilayah dalam memastikan setiap dasar, projek dan inisiatif yang dilaksanakan mencapai matlamat serta memberi manfaat kepada rakyat.
Dalam masa yang sama, beliau menyeru seluruh warga KETENGAH agar menghayati saranan YAB Timbalan Perdana Menteri dan Menteri KKDW supaya organisasi beralih daripada culture of compliance kepada culture of impact, serta daripada culture of activity kepada culture of accountability.
Beliau menegaskan bahawa setiap warga kerja perlu memberi penekanan terhadap keberhasilan sesuatu program, bukan sekadar memenuhi keperluan pelaksanaan. "Kejayaan kita bukan lagi diukur berdasarkan banyaknya program yang dilaksanakan, tetapi sejauh mana program tersebut benar-benar memberi impak kepada rakyat. Begitu juga, kita tidak boleh sekadar melaksanakan tugasan kerana memenuhi arahan, sebaliknya perlu bertanggungjawab terhadap hasil yang dicapai," katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa budaya kerja yang mengutamakan integriti, profesionalisme, kecekapan dan akauntabiliti perlu terus diperkasakan bagi memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan mampu menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi Wilayah KETENGAH secara mampan.





