Pada 21 Oktober 2024, seramai 48 orang pelajar dalam kalangan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bersama 16 orang guru pengiring telah dibawa ke Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Kemasik, Kemaman. Sesi lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada pengisian Program Motivasi di bawah Program Tuisyen Intelek Muda (ILMU) Wilayah KETENGAH Tahun 2024.
Program ini bertujuan memberikan pendedahan kepada pelajar-pelajar SPM mengenai peluang melanjutkan pelajaran dalam bidang _Technical and Vocational Education Training_ (TVET) yang ditawarkan.
Lawatan yang dilaksanakan ini merupakan satu inisiatif untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar yang terpilih daripada sekolah-sekolah menengah dalam wilayah KETENGAH untuk merasai sendiri suasana sebenar pembelajaran di pusat pengajian di samping pengisian lawatan ke dewan kuliah, bengkel amali, asrama latihan, studio dandanan dan kelengkapan pembelajaran yang disediakan.
Program anjuran Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) ini telah dikelolakan oleh pihak Kolej Ketengah dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu serta Pejabat Pendidikan Daerah yang terlibat.
Diharapkan dengan lawatan seperti ini dapat menyuntik semangat para pelajar dan membuka minda mereka untuk menyambung pengajian selepas tamat SPM nanti. Peluang untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kemahiran atau TVET ini haruslah diambil kerana bidang ini menjanjikan masa depan yang cukup luas untuk diterokai dan menjamin pendapatan yang tinggi kepada individu yang mempunyai kelulusan di dalam bidang ini nanti.