Terdapat banyak air terjun di Tasik Kenyir yang terkenal di kalangan pengunjung yang gemarkan perkelahan yang santai sambil menikmati kecantikan alam semulajadi. Jika sudah menjejakan kaki ke Tasik kenyir, pasti terasa rugi jika tidak mengambil peluang untuk berkelah di salah satu lokasi air terjun di sini. Kemudahan asas yang mesra pengguna juga turut disediakan seperti tanda, tempat persalinan dan kawasan rehat. Antara lokasi air terjun yang harus dilawati termasuklah Air terjun Lasir, Air Terjun Saok dan Air terjun Pertuang.

AIR TERJUN LASIR
Air Terjun Lasir terletak 16 km dari Jeti Pengkalan Gawi. Perjalanan dengan bot laju mengambil masa 30 minit dari jeti di mana pelancong disambut dengan deruan air terjun setinggi 500 kaki yang menambah kedinginan suasana sekitar air terjun. Dasar air terjun Lasir dilitupi dengan kehijauan daun hutan hujan tropika yang membuatkan lokasi ini menjadi tempat yang sesuai untuk beristirehat.

AIR TERJUN SAOK
Dari Jeti Pengkalan Gawi, ia mengambil masa sekitar 15 minit dengan menaiki bot untuk sampai ke Air Terjun Saok. Kaki air terjun yang rata dan berpasir membuatkan ianya menjadi lokasi yang strategik untuk perkelahan. Airnya yang dingin mampu memberi kenangan yang indah sepanjang percutian bersama keluarga dan juga rakan-rakan.

AIR TERJUN TEMBAT
Air Terjun Tembat terletak kira-kira satu jam perjalanan menaiki bot dari Jeti Pengkalan Gawi. Air Terjun Tembat memiliki keistimewaannya yang tersendiri berbanding air terjun yang lain kerana ianya terdiri daripada lima jeram air terjun yang deras airnya. Keunikan Air Terjun Tembat menjadikan ia lokasi kegemaran di kalangan pengunjung yang sukakan aktiviti perkhemahan. Kawasan perkhemahannya yang luas juga dilengkapi dengan laluan yang menghubungkan pendaki ke bahagian atas air terjun. Dari sini, pendaki dapat menikmati pemandangan dan persekitaran air terjun yang sangat menawan.