Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) KETENGAH 2022

Seramai 29 Orang Pegawai dan Kakitangan Menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) KETENGAH 2022.

Majlis APC yang diadakan pada setiap tahun merupakan penghargaan Kerajaan kepada pegawai perkhidmatan awam yang telah memberi perkhidmatan cemerlang di samping pengiktirafan terhadap perkhidmatan yang bermutu tinggi berdasarkan prestasi tahunan pegawai, selaras dengan membudayakan kerja berprestasi tinggi dan berinovasi. Ini juga termasuk atas segala jasa, sumbangan dan pengorbanan dalam melaksanakan tanggungjawab, baik dalam menjalankan tugas rasmi mahupun penglibatan aktif di dalam kegiatan sukan, sosial dan kemasyarakatan.

KETENGAH telah mengadakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KETENGAH 2022 bertempat di Balai Orang Ramai (BALORA), Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun yang disempurnakan oleh Pengurus Besar KETENGAH, YM Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa.

Pengurus Besar berkata “Penganugerahan ini bukan hanya sebagai dorongan dan pengiktirafan kepada pegawai dan kakitangan yang telah menunjukkan komitmen dan dedikasi dalam melaksanakan atau telah menghasilkan prestasi kerja cemerlang semata-mata, bahkan dalam skop yang lebih luas ianya menjadi contoh kepada kakitangan lain untuk melaksanakan tugas dengan lebih cemerlang. Anugerah Perkhidmatan Cemerlang merupakan langkah ke arah membudayakan kecemerlangan menyeluruh dalam semua aspek pengurusan dan penyampaian perkhidmatan kerajaan, khususnya pada agensi itu sendiri”.

Beliau berharap agar semua yang diraikan hari ini akan dapat mengekalkan rentak kecemerlangan dan komitmen yang telah ditunjukkan selama ini, disamping terus mendokong usaha kerajaan ke arah kemakmuran negara dalam menjamin kesejahteraan rakyat.

Bengkel Bajet Pembangunan Rolling Plan Keempat (RP4) Tahun 2024 dan RP5 di bawah RMKe-12
Perutusan Tahun Baru 2024

Artikel Lain