logo-jata-ketengah

PORTAL RASMI

LEMBAGA KEMAJUAN TERENGGANU TENGAH

Karung Berkunci No 3, 23400,
Al Muktafi Billah Shah, Terengganu

Tel : 098231000 | Emel : ketengah@ketengah.gov.my

Search
Close this search box.

Perutusan Tahun Baru 2024

Muka_Hadapan_Perutusan_Tahun_Baru_2024

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Malaysia Madani

Marilah sama-sama kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT. kerana dengan limpah kurnia-Nya kita dapat sama-sama melangkah ke Tahun Baru 2024 bagi meneruskan kesinambungan pembangunan di wilayah KETENGAH.

Tahun 2023 telah berlalu dengan begitu pantas dan kini kita telah melangkah ke tahun baru 2024 yang akan membuka satu lagi lembaran baharu dalam kehidupan kita. Seiring dengan pertambahan usia kita, maka kita perlu lebih bersedia untuk memikul lebih banyak tanggungjawab dan amanah besar yang perlu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya oleh kita semua sebagai penjawat awam selari dengan hasrat dan objektif Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sendiri dalam membawa kemakmuran kepada penduduk luar bandar.

Warga KETENGAH yang dihormati dan dikasihi sekalian.

Tahun 2023 menandakan ulang tahun ke-50 penubuhan KETENGAH dan merupakan satu angka penting yang telah membuktikan keunggulan KETENGAH dalam berbakti kepada masyarakat luar bandar. KETENGAH telah berjaya melalui tahun 2023 yang dipenuhi dengan pelbagai cabaran dan rintangan dalam suasana politik dan ekonomi yang agak bergelora. Namun begitu berkat ketabahan dan kegigihan kita semua, rintangan-rintangan dan gelora ini berjaya di atasi dengan baik sehingga perancangan KETENGAH dapat dijayakan. Saya percaya cabaran-cabaran yang dilalui itu telah memberikan pengalaman, teladan dan pengajaran yang berguna kepada kita semua.

Saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada seluruh warga kerja KETENGAH yang telah memberikan sumbangan yang amat bermakna pada tahun lalu sehingga kita dapat melakar kejayaan-kejayaan tersebut.

Mengimbas prestasi perbelanjaan bagi peruntukan tahun 2023, kita berjaya mencapai prestasi 95.48%. Walaupun pencapaian ini agak baik, kita perlu berusaha dengan lebih gigih dan mengatur strategi yang mantap agar prestasi perbelanjaan tahun 2024 dapat ditingkatkan sehingga 100% bagi memastikan agenda pembangunan luar bandar terus terlaksana dengan sebaik-baiknya.

Sepanjang tahun 2023, pelbagai coretan kejayaan dan kenangan manis berjaya dilakar hasil usaha kerja berpasukan. Karnival Usahawan Desa (KUD)@Putrajaya yang dianjurkan oleh KKDW telah disertai oleh KETENGAH dengan menonjolkan konsep eko pelancongan. Ia bagi mempromosikan produk pelancongan dan usahawan wilayah KETENGAH sekaligus telah berjaya menarik ramai pengunjung ke Laman KETENGAH. Penglibatan KETENGAH menyertai Kejohanan Sukan Majlis Kebajikan dan Sukan KKDW (MAKSPEN) XIV telah meraih 1 pingat emas dan 2 gangsa serta berjaya menduduki tangga keenam keseluruhan. KETENGAH juga telah mendapat pengiktirafan pematuhan SAGA bagi Sistem Aplikasi Perakaunan dan Kewangan daripada Jabatan Akauntan Negara Malaysia dan Sijil Tanpa Teguran bagi Sijil Ketua Audit Negara Mengenai Penyata Kewangan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2022.

Pengiktirafan dan kejayaan ini sudah pasti tidak datang bergolek tetapi ia datang daripada perancangan, kerjasama dan pelaksanaan kerja yang teliti, mantap dan berpegang kepada satu objektif yang sama oleh setiap pihak, baik Pengurusan, pegawai serta kakitangan daripada semua bahagian dan unit.

Pada akhir tahun 2023 pula, kampung-kampung di wilayah KETENGAH turut dilanda musibah banjir. KETENGAH telah mengambil pendekatan pantas dengan menyalurkan kit bantuan bencana dan membersihkan kediaman serta kawasan yang terlibat dengan banjir. Bantuan yang dihulurkan ini telah berjaya membantu dalam meringankan beban kepada mangsa banjir serta mencerminkan keprihatinan KETENGAH terhadap kehidupan penduduk.

Warga KETENGAH yang dihormati dan dikasihi sekalian

Bagi tahun 2024, KETENGAH telah diluluskan peruntukan pembangunan berjumlah RM56.82 juta untuk melaksanakan dan membiayai 35 program/projek yang merangkumi 10 program/projek baru berjumlah RM17.35 juta dan 25 program/projek sambungan berjumlah RM39.47 juta. Peruntukan yang diterima ini merupakan satu amanah yang besar dan perlu dibelanjakan secara berhemah untuk memastikan segala perancangan dan program pembangunan yang dirancang benar-benar memberi impak kepada masyarakat wilayah KETENGAH.

Pelaksanaan program/projek ini adalah berdasarkan Pelan Perancangan Strategik KETENGAH Tahun 2021-2025 yang merangkumi lima teras yang telah digariskan iaitu ekonomi dan keusahawanan, pembangunan masyarakat, pembangunan prasarana, alam sekitar dan sistem penyampaian.

KETENGAH juga akan memfokuskan program/projek prasarana dan ekonomi yang berbentuk quick win dan disiapkan dalam tempoh yang singkat bagi memberikan impak kepada masyarakat selari dengan hasrat Kerajaan dalam pembentangan bajet 2024 iaitu ‘Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat’.

Warga KETENGAH yang dihormati dan dikasihi sekalian,

Dalam kita melangkah ke tahun 2024, kita mestilah menghayati konsep Malaysia Madani yang telah diperkenalkan oleh Kerajaan pada hari ini. Enam nilai teras Madani yang perlu kita hayati iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan. Madani yang dilihamkan ini adalah berdasarkan konsep kesediaan menerima perubahan dengan mengambil kira saranan segenap lapisan masyarakat. Justeru, kita sebagai penjawat awam haruslah menerima perubahan dan berusaha untuk meningkatkan kebersamaan antara kita supaya perancangan yang telah diatur dapat dicapai.

Lantaran itu, kita hendaklah memastikan agar sentiasa ada penambahbaikan sama ada dari segi peraturan atau proses kerja agar penghasilannya memberi manfaat kepada kumpulan sasar iaitu masyarakat wilayah KETENGAH. Saya berharap agar warga kerja KETENGAH menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab, jujur dan berintegriti. Laksanakanlah amanah dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan bagi memperkukuhkan organisasi serta kesejahteraan masyarakat luar bandar.

Sesungguhnya tahun 2024 ini banyak cabaran yang perlu dihadapi bagi melahirkan masyarakat luar bandar yang lebih berkualiti dan berdaya saing selaras dengan agenda utama Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) 2030 yang merumuskan Wawasan Luar Bandar Yang Sejahtera, Inklusif, Mampan dan Holistik menjelang tahun 2030.

Oleh yang demikian, marilah sama-sama kita berganding bahu dan melangkah ke hadapan agar apa yang direncana dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya bagi membuktikan keupayaan KETENGAH untuk membangunkan sektor luar bandar yang berpaksikan kesejahteraan penduduk.

Akhirnya saya berdoa ke hadrat Allah SWT. agar kita semua diberikan kebijaksanaan, kecekalan dan kekuatan bagi meneruskan tugas-tugas kita yang telah diamanahkan dengan cemerlang pada tahun ini demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2024

Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa
Pengurus Besar
LEMBAGA KEMAJUAN TERENGGANU TENGAH