logo-jata-ketengah

PORTAL RASMI

LEMBAGA KEMAJUAN TERENGGANU TENGAH

Karung Berkunci No 3, 23400,
Al Muktafi Billah Shah, Terengganu

Tel : 098231000 | Emel : ketengah@ketengah.gov.my

FESTIVAL KENYIR GEOPARK 2025 CIPTA SEJARAH — LEBIH 70,000 PENGUNJUNG & JUALAN CECAH RM3.34 JUTA

Festival Kenyir Geopark 2025 yang berlangsung selama tiga hari bermula 30 Oktober hingga 1 November 2025 di Pulau Poh, Tasik Kenyir telah melabuhkan tirainya dengan penuh gemilang menerusi acara kemuncak Konsert Fiesta D’Kenyir yang menampilkan barisan artis popular tanah air dan mendapat sambutan luar biasa daripada para pengunjung.

Penganjuran festival kali ini mencatat kejayaan luar biasa apabila menarik kehadiran seramai 70,850 pengunjung, sekali gus melebihi sasaran awal seramai 60,000 pengunjung. Dalam masa yang sama, nilai jualan rasmi yang direkodkan sebanyak RM3,341,649.37, turut mengatasi sasaran asal sebanyak RM1.2 juta.

YB Datuk Hajah Rubiah binti Haji Wang, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah merasmikan festival ini pada 30 Oktober 2025. Festival yang dianjurkan oleh Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu ini telah menjadi platform utama dalam memperkasakan usahawan desa, memperkukuh jaringan ekonomi komuniti setempat serta mempromosikan Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi dan geopark terunggul di rantau ini.

Sepanjang tiga hari penganjuran, festival ini dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya Kenyir Bermunajat, Pertandingan Dikir Barat, Pertandingan Muzik Gamelan, Tarian Rampaian D’Kenyir, Fun Run, Kenyir Open Water Challenge, Pertandingan Mewarna, Program Eco-Talk, Program E-Sport, Sukan Rakyat, Sukan Air, Pertandingan Facebook dan TikTok Challenge dan Bike Meet yang menarik penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat. Selain itu, turut diadakan pameran agensi, swasta, NGO & aset, jualan usahawan desa, Jualan Rahmah, persembahan kebudayaan, demonstrasi masakan tradisional, serta aktiviti interaktif yang menambah kemeriahan suasana di Pulau Poh. Acara yang paling dinantikan oleh pengunjung ialah cabutan bertuah harian dengan hadiah utama gold bar 5 gram disamping peralatan elektrik.

Kejayaan penganjuran Festival Kenyir Geopark 2025 ini tidak hanya sekadar jualan dan pameran tetapi menunjukkan komitmen berterusan dalam menjayakan agenda Malaysia MADANI ke arah memperkukuh sektor pelancongan desa dan pembangunan komuniti luar bandar.

KETENGAH turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pengunjung, rakan strategik, usahawan, pempamer, petugas media, pihak urus setia, pegawai dan kakitangan KETENGAH serta pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan festival ini. Sambutan yang amat menggalakkan telah menjadikan Festival Kenyir Geopark 2025 bukan sekadar acara pelancongan, tetapi satu simbol kebersamaan dan semangat pembangunan mampan masyarakat setempat.