25 Februari 2023 – Kelab Keluarga KETENGAH (Kelab 3K) telah menganjurkan Riang Ria Keluarga KETENGAH “JOM NGAIL DI TASIK BALORA”, Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun. Acara yang mendapat sokongan penuh daripada KETENGAH dengan penaja utamanya adalah Ketengah Holding Sdn. Bhd. (KHSB). Masanya juga amat bersesuaian dengan cuti hujung minggu serta persekolahan dan penyertaannya adalah terbuka untuk semua di mana dapat menarik seramai 437 orang peserta. Pelepasan acara bermula pada jam 8.00 pagi, namun kaki pancing rata-ratanya hadir lebih awal bagi mendapatkan ‘port’ atau posisi terbaik untuk memancing.
Keadaan cuaca yang redup sangat mengujakan dengan pemancing begitu tekun dan sabar menanti tangkapan masing-masing. Pelbagai jenis umpan yang digunakan oleh kaki pancing serta mempunyai ‘resepi’ tersendiri dalam memikat ikan untuk meragut mata kail. Sehingga berakhir acara pada jam11.30 pagi, sejumlah 111 ekor ikan berjaya dinaikkan oleh para peserta.
Acara ini memberi ruang serta peluang kepada awam untuk mengenali peranan KETENGAH secara lebih dekat dalam membangunkan wilayahnya. Apatah pada tahun ini merupakan Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Penubuhan KETENGAH. Ianya juga secara tidak langsung mengeratkan lagi hubungan yang sedia terjalin. Suasana juga menjadi lebih meriah dengan para usahawan KETENGAH membuat ‘jualan segera’ meliputi pelbagai minuman dan makanan serta produk yang mendapat sambutan menggalakkan dari para peserta.
Majlis penyampaian hadiah serta cabutan bertuah telah disempurnakan oleh Ybhg. Tuan Haji Ahmad Fakaruddin Ahmad, Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KETENGAH merangkap Presiden Kelab Keluarga KETENGAH yang mewakili Pengurus Besar serta Ybrs. Tuan Haji Ramli Shahul Hameed, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KHSB. Encik Mohammad Zaem berjaya membawa pulang hadiah utama merupakan wang tunai RM1,000 setelah berjaya menewaskan peserta lain dengan menaikkan spesis keli seberat 1.585 kg. Tempat kedua dimenangi oleh Encik Mohamad Daud yang juga berjaya ‘mendaratkan’ ikan keli seberat 1.450 kg. Encik Umar Faiq pula di tempat ketiga dengan tangkapan seberat 1.360 kg. Sebanyak 100 cabutan bertuah termasuk 3 cabutan bonanza iaitu peti sejuk, mesin basuh dan televisyen telah dimenangi oleh peserta yang bertuah. Tahniah kepada semua pemenang, penaja dan barisan urus setia yang telah menjayakan acara ini.
“KELAB CEMERLANG KELUARGA GEMILANG”.
Post Views: 701