Kuala Terengganu, 25 Januari 2026 – KETENGAH terus memperkukuh hubungan strategik bersama rakan media dan influencer bagi menyokong penyampaian maklumat pembangunan wilayah secara berkesan kepada masyarakat.
Pengerusi KETENGAH, YBhg. Dato’ Rozi bin Mamat berkata, media dan influencer berperanan sebagai jambatan penting antara agensi dan rakyat dalam membentuk kefahaman, keyakinan serta persepsi masyarakat terhadap usaha pembangunan yang dilaksanakan.
Menurut beliau, sokongan media amat diperlukan bagi mengetengahkan kisah kejayaan rakyat, potensi pelancongan seperti Tasik Kenyir, pelancongan desa Kampung Pasir Raja di bawah Program Desa Kirana@KKDW, keusahawanan tempatan serta pelbagai program kebajikan dan sosial KETENGAH.
Beliau turut menegaskan komitmen KETENGAH untuk sentiasa membuka ruang kerjasama bersama-sama rakan media dan influencer melalui perkongsian maklumat dan akses lapangan secara berterusan.
Majlis Jalinan Mesra KETENGAH dan Rakan Media Terengganu 2026 yang berlangsung di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu menjadi platform penting dalam mengukuhkan hubungan jangka panjang berteraskan kepercayaan dan profesionalisme demi kepentingan rakyat dan pembangunan wilayah KETENGAH.
Turut hadir sama dalam majlis ini adalah YM Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa, Pengurus Besar KETENGAH bersama-sama barisan pengurusan KETENGAH bagi beramah mesra bersama rakan media yang hadir.















