5 Februari 2026 – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) telah menerima kunjungan hormat daripada MIMOS Academy Sdn. Bhd, Unit Strategik di bawah MIMOS Holdings, bagi sesi perbincangan dan pembentangan berkaitan inisiatif pembangunan kapasiti Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence, AI).
Kunjungan ini diketuai oleh YM. Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa, Pengurus Besar KETENGAH, bersama Encik Hazroll Eizwal bin Jasni, Pengurus Pembangunan Teknologi Maklumat dan Komunikasi KETENGAH. Delegasi MIMOS Academy pula diketuai oleh Prof. Ir. Dr. Ahmad Nizar Harun, Ketua Pegawai Eksekutif MIMOS Academy, bersama Dato’ Sri Rosli Kp Mohamed Yoosuf, Perunding MIMOS, serta Pn. Saidatul Farrah Muhammad Johar, Ketua Perniagaan dan Komersial MIMOS Academy.
Sesi ini bertujuan memperkenalkan kepakaran MIMOS Academy dalam pembangunan bakat AI serta membentangkan program latihan strategik termasuk Train-The-Trainer (TTT) yang menyokong pembangunan modal insan, peningkatan kecekapan organisasi dan pembuatan keputusan berasaskan data.
KETENGAH telah menyambut baik kunjungan ini selaras dengan komitmen organisasi dalam memperkasakan keupayaan dalaman melalui pemanfaatan teknologi digital dan inovasi sejajar dengan agenda pendigitalan sektor awam dan aspirasi pembangunan wilayah yang mampan serta berdaya saing.












