Pada 7 hingga 9 Mei 2024, telah berlangsung Kursus Pra Persaraan Kepada Pegawai dan Kakitangan KETENGAH Tahun 2024 dan 2025 selama tiga hari dua malam , bertempat di Adya Hotel Kuah, Pulau Langkawi.
Kursus ini melibatkan seramai 15 orang bakal pesara yang akan mula bersara pada tahun 2024 dan 2025 beserta peserta yang terdiri daripada bekas kakitangan KETENGAH yang baru sahaja tamat tempoh perkhidmatan mereka baru-baru ini. Selain itu, terdapat juga pegawai di kalangan Pengurusan Tertinggi iaitu Timbalan Pengurus Besar (Operasi), Tuan Haji Ahmad Fakaruddin bin Ahmad yang akan mula bersara penuh tahun 2025.
Pengendali kursus serta selaku penceramah ialah Encik Ab Razak daripada Innovation Business Excellence ,dengan kerjasama Tuan Mohd Adib Abd Aziz, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam.
Kursus persaraan ini penting bagi memastikan semua bakal-bakal pesara memahami alam persaraan yang bakal ditempuh. Antara objektif utama kursus ini adalah bertujuan untuk membuat persediaan secara psikologi sebelum memulakan persaraan, mengetahui serta mendalami maklumat berkaitan faedah-faedah persaraan, faedah pencen terbitan dan perubatan; cara mengurus Gratuiti dan pencen, memahami cara menguruskan kewangan serta panduan menjana pendapatan selepas bersara dan sebagainya.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YM Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa, Pengurus Besar KETENGAH.Beliau mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada semua peserta kerana telah menunjukkan kecemerlangan dan kesetiaan mereka sebagai penjawat awam terutamanya pada KETENGAH dan berharap agar kursus ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin bagi kebaikan pada masa akan datang.
Tahniah kepada semua peserta kerana dapat menghadiri kursus ini dengan jayanya.