logo-jata-ketengah

PORTAL RASMI

LEMBAGA KEMAJUAN TERENGGANU TENGAH

Karung Berkunci No 3, 23400,
Al Muktafi Billah Shah, Terengganu

Tel : 098231000 | Emel : ketengah@ketengah.gov.my

LAWATAN INTEGRASI KE SABAH PERKUKUH SEMANGAT KERJASAMA WARGA KETENGAH

Seramai 45 orang pegawai dan kakitangan KETENGAH telah menyertai Lawatan Integrasi ke Sabah, Negeri di Bawah Bayu, yang berlangsung selama tiga hari dua malam bermula 6 hingga 8 Februari 2026. Program ini telah dilaksanakan dengan lancar dan mencapai objektif yang ditetapkan, khususnya dalam memperkukuh hubungan silaturahim serta semangat kerjasama berpasukan dalam kalangan warga KETENGAH.

Lawatan ini merupakan satu inisiatif penghargaan kepada peserta Perarakan dan Perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2025, di samping berfungsi sebagai platform pembelajaran tidak formal melalui pendedahan kepada pengalaman baharu dan persekitaran berbeza. Sepanjang lawatan, para peserta telah dibawa melawat beberapa destinasi pelancongan utama antaranya Jambatan Tamparuli, Pekan Nabalu, Rumah Terbalik, Desa Dairy Farm, serta berpeluang menikmati panorama Gunung Kinabalu dan pemandangan matahari terbenam di Anjung Senja, Kota Kinabalu.

Selain pengisian berbentuk rekreasi, lawatan ini turut menekankan aspek pembangunan modal insan melalui penerapan nilai disiplin, profesionalisme dan komunikasi berkesan dalam suasana yang lebih santai dan terbuka. Interaksi sepanjang program secara tidak langsung telah mengukuhkan semangat kekitaan, toleransi serta kerjasama antara pegawai daripada pelbagai bahagian dan unit.

Secara keseluruhannya, pelaksanaan Lawatan Integrasi ini bukan sahaja berjaya mencapai matlamat mempererat hubungan warga kerja KETENGAH, malah turut menyumbang kepada peningkatan motivasi, kesejahteraan emosi serta pembentukan pasukan kerja yang lebih harmoni dan berdaya saing.