12 April 2023-Al Muktafi Billah Shah.
Majlis Doa Selamat dan Santuni Asnaf Wilayah KETENGAH Sempena 50 Tahun Penubuhan KETENGAH telah berlangsung sebentar tadi dengan kehadiran Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, YB Datuk Hajah Rubiah Wang. Kehadiran beliau telah disambut kira-kira1,080 orang bertempat di pekarangan Masjid Sultan Mahmud, Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun Terengganu.
Dalam ucapannya beliau berkata” saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sudi meluangkan waktu untuk sama-sama memeriahkan majlis pada petang ini dan tahniah juga diucapkan kepada semua penerima sumbangan pada petang ini. Semoga sumbangan yang disampaikan pada petang ini dapat memberikan sinar dan meringankan bebanan asnaf yang terlibat”.
Seramai 6 orang penerima Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) telah menerima replika kunci rumah masing-masing dan seramai 264 orang pula telah menerima sumbangan Tabung Amanah Masyarakat KETENGAH (TAMK). Sejak tahun 2004 hingga kini, sejumlah RM10,300,000 telah disalurkan kepada penerima bagi meringankan beban rakyat dalam membuat persiapan menyambut Syawal.
Hari ini tanggal 12 April 2023 juga merupakan tarikh keramat buat KETENGAH kerana telah mencapai usia penubuhan ke 50 Tahun. Sehubungan dengan itu, YB Timbalan Menteri bersama-sama dif jemputan memotong pulut kuning sebagai gimik sambutan penubuhan KETENGAH dan diadakan juga majlis doa selamat.YB Timbalan Menteri menambah ” Sejajar dengan sambutan ini, saya amat berharap agar KETENGAH terus unggul. Bagi merealisasikan aspirasi ini, peranan warga KETENGAH dalam memperkasa pembangunan luar bandar yang sejahtera, inklusif, mampan dan holistik harus diberikan keutamaan selari dengan aspirasi Desa Makmur agar kualiti pembangunan di wilayah ini mendapat perhatian global.”
Hadir sama Pengerusi KETENGAH, YB Dato’ Seri (Dr.) Ahmad Said dan Pengurus Besar KETENGAH, YM Dato’ Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa. Program ini telah mendapat kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Terengganu.