Seramai 17 orang pesara KETENGAH yang bersara pada tahun 2023 telah diraikan dalam satu Majlis Lambaian Kasih Sanjungan Budi bertempat di Balai Orang Ramai (BALORA). Mereka terdiri daripada 15 orang bersara wajib dan seramai 2 orang pula bersara pilihan.
Pengurus Besar KETENGAH, YM Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa dalam ucapannya merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga atas sumbangan dan dedikasi yang telah dicurahkan oleh mereka (pesara) sepanjang berkhidmat KETENGAH.
Beliau menambah “Sepanjang menjalankan tugasan sebagai penjawat awam, pastinya pelbagai kisah suka dan duka dalam mengharungi cabaran dan rintangan telah dilalui. Walaupun pengalaman bagi setiap individu yang berada di sini berbeza, namun saya percaya semua pengalaman tuan/puan boleh dijadikan pedoman untuk penjawat awam supaya mereka dapat bekerja dan menjalankan tugas dengan lebih cekap dan efisien dalam memenuhi ekspektasi pelanggan serta menghadapi cabaran dalam pekerjaan sektor awam”.
Sebelum mengakhiri ucapan, Pengurus Besar berkata ”sekali lagi saya mengucapkan selamat bersara dan setinggi-tinggi penghargaan kepada tuan/puan rakan-rakan seperjuangan atas jasa dan khidmat bakti dalam memajukan perkhidmatan awam. Sumbangan dan usaha yang telah diberikan pastinya akan terus dikenang. Semoga tuan/puan terus dikurniakan kesihatan yang baik dan rezeki yang berpanjangan. Saya bagi pihak warga kerja KETENGAH juga ingin memohon kemaafan sekiranya sepanjang kita berinteraksi terdapat sebarang kesalahan. Sebagai manusia kita tidak dapat lari daripada membuat kesilapan”.
Hadir sama dalam majlis berkenaan Timbalan-Timbalan Pengurus Besar, Pengurus Kanan (Korporat), Pengurus-Pengurus Bahagian, Ketua Unit dan wakil Persatuan Pesara KETENGAH yang diketuai oleh Tuan Haji Omar bin Ismail, Mantan Pengurus Besar KETENGAH ke 8.