Majlis Lambaian Kasih Sanjungan Budi ini diadakan khas bagi meraikan persaraan 13 orang pegawai dan kakitangan KETENGAH iaitu 10 orang bersara wajib/pilihan dan 3 orang yang meninggal dunia sebelum berakhir tempoh perkhidmatan di KETENGAH. Majlis tersebut telah berlangsung di Balai Orang Ramai (BALORA) Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun, Terengganu.
Semasa ucapan YM Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa, Pengurus Besar KETENGAH berkata “Hari ini merupakan hari yang istimewa, bukan hanya kerana kita dapat bersama-sama meraikan para pesara yang telah memberikan sumbangan luar biasa kepada jabatan ini, tetapi juga untuk mengingatkan kita tentang perjalanan yang penuh pengorbanan, usaha keras dan dedikasi yang telah diberikan oleh mereka sepanjang berkhidmat di KETENGAH. YM Dato’ menambah “Mereka yang diraikan ini bukan sahaja sekadar rakan sekerja yang sangat dihormati, malah merupakan contoh yang banyak memberi inspirasi kepada kita semua, khususnya yang lebih muda. Kecekapan, kesungguhan, dan ketabahan dalam menghadapi pelbagai cabaran sepanjang kerjaya adalah teladan terbaik untuk kita semua”.
Majlis ini turut dihadiri oleh ahli Persatuan Pesara KETENGAH dan diserikan lagi dengan persembahan sulung daripada kumpulan akustik “Medali Jiwa” yang dianggotai oleh pegawai dan kakitangan KETENGAH.
Semoga persaraan ini membawa kebahagiaan, dikurniakan kesihatan yang baik, dan banyak pengalaman baru yang penuh bermakna dikecapi. Selamat bersara dan setinggi-tinggi penghargaan serta ucapan terima kasih atas jasa dan khidmat bakti dalam memajukan perkhidmatan awam di KETENGAH.
Bila memandang ke muka laut,
Nampak sampan mudik ke hulu,
Hati terkenang mulut menyebut,
Budi yang baik diingat selalu.
Melur selasih kembang berseri,
Selasih tumbuh di dalam taman,
Lambaian kasih sanjungan budi,
Mesra kenangan sepanjang zaman.






















