Majlis Penyerahan 2 Unit Van Penumpang Projek Perkhidmatan Pelancongan Koperasi Setiajaya Pulau Redang Kuala Terengganu Berhad.
KKDW terus komited meningkatkan pengupayaan komuniti dengan merancang dan menjayakan pelaksanaan projek pembangunan ekonomi di kawasan kampung.
Program Desa Lestari (PDL) yang diperkenalkan bermula 2013 di bawah program Transformasi Kerajaan (GTP 2.0) merupakan antara inisiatif Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) meningkatkan taraf hidup masyarakatnya. PDL adalah program di mana, Kerajaan menyediakan geran kepada kampung terpilih melalui penglibatan koperasi komuniti.
Antara objektif utama PDL adalah untuk meningkatkan pengupayaan komuniti dalam merancang serta menjayakan pelaksanaan projek pembangunan ekonomi di kampung.
Koperasi Setiajaya yang beroperasi di Pulau Redang telah berjaya terpilih menerima geran berjumlah RM500,000.00 di bawah kluster pelancongan pada tahun 2021.
Sehubungan dengan itu KKDW melalui agensi KETENGAH telah diamanahkan untuk melaksanakan Projek Perkhidmatan Pelancongan dengan perolehan 2 unit van penumpang yang bernilai RM271,380.00 untuk digunapakai oleh koperasi ini. Selain dari van penumpang, pihak koperasi bakal menerima 2 unit bot pelancong yang sedang dalam pembinaan oleh pembekal yang dilantik.
Majlis penyerahan ini telah disempurnakan oleh YBhg Tuan Haji Bazlan bin Abd Rahman, Ketua Urusetia DUN Batu Rakit. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia, YBhg. Leftenan General (Bersara) Dato’ Ahmad Norihan bin Jalal, Penolong Setiausaha (PSU), Bahagian Pembangunan Ekonomi Komuniti KKDW Putrajaya, Encik Mohamad Shahrul bin Mohd Shafie, Pengurus Bahagian Pembangunan Masyarakat dan Sosial, Encik Faizol bin Abd. Aziz, Pengarah SKM Terengganu, Tuan Haji Awg Ruslli bin Mohamad, Pengurus-Pengurus Bahagian KETENGAH dan ahli-ahli Koperasi Setiajaya Pulau Redang.
Pengerusi Koperasi Setiajaya, Encik Zol bin Mohd Noor menyifatkan ini adalah satu pemberian yang amat bermakna kepada kami kerana sejak hasil pajakan telur penyu dan sarang burung telah ditamatkan, hasil koperasi amat sedikit dan hanya bergantung kepada jualan air batu sahaja. Dengan adanya 2 buah van ini, saya percaya dapat merancakkan semula pendapatan koperasi dan seterusnya memberi nikmat kepada 350 ahlinya. Ianya juga dapat membuka peluang pekerjaan kepada komuniti setempat.
KKDW berharap PDL ini akan terus berkembang maju dan menjadi penggerak kepada pembangunan ekonomi di luar bandar.