23 Ogos 2022 – Putrajaya
Majlis Sesi Penyerahan Projek Ladang Buah Berskala Besar (EPP 7) Kawasan Pertanian Kg. Tuan Seh dan Kg. Ban Ho. Projek Ladang Buah Berskala Besar (EPP 7) merupakan salah satu projek di bawah Program Transformasi Kerajaan 2.0 Desa Abad ke-21 di bawah NKEA Pertanian (EPP 7) yang dilaksanakan secara bersepadu dan komprehensif untuk menghapuskan kemiskinan luar bandar melalui peningkatan pendapatan dan kualiti hidup serta mempercepatkan pembangunan di kawasan mundur, terpencil dan terbiar.
Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan projek ini secara usaha sama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dan syarikat peneraju (anchor company) yang dilantik. Peranan KPLB adalah untuk mencadangkan tapak yang sesuai ditanam dengan tanaman secara berskala besar atas pengesyoran Jabatan Pertanian. Selain itu, KPLB juga bertanggungjawab untuk menyediakan infrastruktur asas di luar ladang iaitu jalan dari jalan perhubungan utama, bekalan air dan elektrik dari sumber/meter utama terhampir ke pintu masuk ladang.
MOA pula membiayai kos pembangunan di dalam ladang yang merangkumi pembinaan infrastruktur asas seperti jalan pertanian, bekalan air dan elektrik, kemudahan pertanian seperti stor, pejabat, kuarters pekerja dan pusat pengumpulan, pembungkusan dan pemprosesan (CPPC).
Syarikat peneraju yang dilantik perlu melaksanakan projek sepanjang tempoh perjanjian yang telah ditandatangani dengan memastikan hasil yang dikeluarkan adalah menepati produktiviti dan sasaran yang ditetapkan. Selain itu, syarikat peneraju perlu memberi keutamaan untuk menggaji pekerja tempatan pada kadar yang dipersetujui sepanjang tempoh perjanjian.KETENGAH merupakan agensi pelaksana projek EPP7 dibawah KPLB yang dilaksanakan di kampung Ban Ho, Kemaman Terengganu.
Post Views: 1,066