logo-jata-ketengah

PORTAL RASMI

LEMBAGA KEMAJUAN TERENGGANU TENGAH

Karung Berkunci No 3, 23400,
Al Muktafi Billah Shah, Terengganu

Tel : 098231000 | Emel : ketengah@ketengah.gov.my

Perutusan Tahun Baharu 2026

Perutusan_Tahun_Baharu_2026

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Salam Malaysia Madani dan Salam Bersama Membangun.

Alhamdulilah, setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT. kerana dengan limpah rahmat dan izin-Nya kita diberi ruang dan kesempatan untuk melangkah ke Tahun Baharu 2026. Detik ini menjadi satu medan untuk kita memperbaharui tekad dalam memikul amanah besar membangunkan masyarakat luar bandar di wilayah KETENGAH.

Tahun 2025 telah melabuhkan tirainya dengan pelbagai pengalaman bermakna merangkumi kejayaan yang membanggakan serta cabaran yang perlu ditempuhi. Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada seluruh warga kerja KETENGAH atas komitmen, dedikasi dan sumbangan berterusan yang telah merealisasikan pelbagai pencapaian sepanjang tahun lalu.

Antara kejayaannya ialah penganjuran Festival Kenyir Geopark yang mencatat sambutan luar jangka dengan kehadiran seramai 70,850 pengunjung mengatasi sasaran awal seramai 60,000 pengunjung. Impak ekonomi yang dijana turut mencerminkan keberkesanan penganjuran apabila mencatat nilai RM3.3 juta berbanding sasaran asal RM1.2 juta. Selain itu, penyertaan KETENGAH dalam Kejohanan Sukan Majlis Kebajikan dan Sukan KKDW (MAKSPEN) XV turut membuahkan hasil apabila berjaya meraih satu pingat emas bagi acara congkak dan satu pingat perak bagi acara pingpong seterusnya menduduki tempat kelima keseluruhan. Dari sudut tadbir urus dan pengurusan kewangan, KETENGAH telah memperoleh Sijil Tanpa Teguran (Hal-hal lain) bagi Sijil Ketua Audit Negara Mengenai Penyata Kewangan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2024.

Namun demikian, penghujung tahun 2025, beberapa kampung di wilayah KETENGAH dilanda musibah banjir. Dalam menghadapi situasi ini, Skuad Ihsan MADANI KETENGAH telah digerakkan dan sebanyak 628 kit bantuan bencana telah disalurkan bagi meringankan beban penduduk yang terjejas. Inisiatif ini menunjukkan keprihatinan KETENGAH terhadap kebajikan masyarakat serta selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang mendahulukan kesejahteraan rakyat.

Warga KETENGAH yang dihormati dan dikasihi sekalian,

Melangkah ke tahun 2026, kita berdepan dengan tanggungjawab yang semakin besar seiring dengan kematangan organisasi. Sebagai penjawat awam, kita dituntut untuk melaksanakan amanah dengan lebih berfokus, cekap dan berintegriti selari dengan hasrat dan objektif Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam memastikan kemakmuran dan kesejahteraan penduduk luar bandar terus diperkasakan.

Dari segi prestasi perbelanjaan pembangunan tahun 2025, KETENGAH telah mencatat prestasi sebanyak 94.66%. Walaupun prestasi ini boleh dibanggakan, penambahbaikan dari sudut perancangan, pelaksanaan dan pemantauan perlu terus diperkukuh agar prestasi perbelanjaan pembangunan tahun 2026 dapat ditingkatkan sekali gus memastikan agenda pembangunan luar bandar dilaksanakan dengan lebih berimpak dan menyeluruh.

Warga KETENGAH yang dikasihi sekalian,

Pada tahun ini, KETENGAH telah diluluskan peruntukan pembangunan Rolling Plan Pertama (RP1) di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) berjumlah RM48.355 juta melibatkan 28 program/projek. Daripada jumlah tersebut, 6 program/projek baru berjumlah RM5.5 juta dan 22 program/projek sambungan berjumlah RM42.855 juta. Kesemua inisiatif ini dirangka berdasarkan Pelan Perancangan Strategik KETENGAH Tahun 2025-2035 yang berpaksikan kepada empat teras iaitu :

Teras 1 : Ekonomi, pelaburan dan keusahawanan;
Teras 2 : Modal insan dan masyarakat;
Teras 3 : Infrastruktur, kemudahan awam, penempatan dan alam sekitar; dan
Teras 4 : Tadbir urus dan penyampaian.

Fokus utama adalah untuk memperkukuh prasarana asas luar bandar secara berfasa agar manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh masyarakat. Dalam masa yang sama, penekanan turut diberikan kepada pembangunan digital desa, termasuk peluasan capaian internet serta penglibatan belia dan usahawan luar bandar dalam ekonomi digital selari dengan aspirasi KKDW dan hala tuju Kerajaan MADANI.

KETENGAH juga akan mengutamakan pelaksanaan program/projek berimpak tinggi yang bersifat quick win dan game changers agar hasilnya dapat dinikmati dalam tempoh yang singkat. Pendekatan ini selari dengan Dasar Sosioekonomi Negara, kerangka Ekonomi MADANI serta keperluan masyarakat di peringkat akar umbi.

Warga KETENGAH yang dihormati dan dikasihi sekalian,

Sebagai sebuah organisasi yang sentiasa bergerak seiring perubahan semasa, kita perlu bersikap terbuka terhadap pembaharuan, memperkukuh semangat kebersamaan dan meningkatkan kecekapan dalam penyampaian perkhidmatan. Penambahbaikan berterusan dalam proses kerja perlu diberi keutamaan agar setiap usaha yang dilaksanakan benar-benar memberi nilai tambah kepada masyarakat di wilayah KETENGAH.

Saya berharap agar seluruh warga kerja KETENGAH terus melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab, berpegang teguh kepada nilai kejujuran dan integriti serta menzahirkan kesungguhan dan keikhlasan dalam setiap amanah yang dipikul. Komitmen ini amat penting bagi memperkukuh organisasi dan memastikan kesejahteraan masyarakat luar bandar sentiasa menjadi keutamaan.

Marilah kita berganding bahu melangkah ke hadapan dengan semangat dan iltizam yang diperbaharui agar segala perancangan yang telah digariskan dapat direalisasikan sekali gus membuktikan keupayaan KETENGAH sebagai pemangkin pembangunan wilayah dan mengangkat martabat masyarakat desa yang berpaksikan kesejahteraan penduduk.

Akhir kata, saya memohon ke hadrat Allah SWT. agar kita semua dikurniakan kebijaksanaan, kecekalan dan kekuatan untuk melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan cemerlang pada tahun ini demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2026

Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa
Pengurus Besar
LEMBAGA KEMAJUAN TERENGGANU TENGAH