Sebanyak RM589,350 telah disalurkan sepanjang Program Bantuan Pendidikan Pelajar Sekolah Wilayah KETENGAH 2023 yang melibatkan 3 daerah iaitu Kemaman, Dungun dan Hulu Terengganu.
Pelaksanaan program ini memberi tumpuan kepada kumpulan sasar yang terdiri daripada 3,929 orang pelajar melibatkan 62 buah sekolah dalam Wilayah KETENGAH. Pemilihan pelajar ialah mereka terdiri daripada kalangan keluarga yang berpendapatan rendah dan golongan miskin serta tersenarai dalam Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM).
Bagi daerah Dungun, seramai 1367 orang pelajar telah menerima sumbangan tersebut pada hari ini bertempat di Dataran Piramid, Bukit Besi, Dungun Terengganu. Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Pengerusi KETENGAH YBhg. Datoβ Seri (Dr.) Haji Ahmad Said dan Pengurus Besar KETENGAH, YM Dato’ Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa.
Pihak KETENGAH merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah dalam Wilayah KETENGAH atas kerjasama dalam mendapatkan senarai penerima bantuan dan menjayakan Program Bantuan Pendidikan Pelajar Sekolah Wilayah KETENGAH Tahun 2023 pada kali ini.
Pengerusi KETENGAH sebelum itu berkesempatan memberi sumbangan kepada pelatih PPDK Bukit Merah.
Semoga sumbangan ini dapat membantu meringankan beban bagi golongan yang kurang berkemampuan, dapat menyemai sifat bersedekah, membantu saudara seislam dan memupuk nilai-nilai pembangunan komuniti yang utuh melalui permuafakatan. Disamping itu dengan program sebegini semangat toleransi, perpaduan dan bekerjasama dapat dipupuk dalam memacu pembangunan sosioekonomi Wilayah KETENGAH.