Program Bayanul Ilm (Penerangan Ilmu) merupakan salah satu platform bagi pelaksanaan program pembangunan modal insan dalam Wilayah KETENGAH dengan penglibatan 54 masjid dalam wilayah sebagai lokasi pelaksanaan program.
Dengan pendekatan sebegini, nilai-nilai persepakatan dan perpaduan dalam komuniti masyarakat dapat terus dikekalkan disamping dapat meningkatkan kefahaman dan pengetahuan berkaitan ehwal Islam.
Sebagai penutup pelaksanaan bagi tahun ini, Program Bual Bicara Ehwal Islam diadakan dengan konsep forum ilmu dengan menampilkan Ilmuan Islam di Negeri Terengganu iaitu YBrs Ustaz Abdul Halim bin Awang @ Sulong, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, UniSZA dan YBrs. Prof Madya Dr. Anas bin Mohd Yunus, pensyarah daripada Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, UniSZA bagi membahaskan persoalan berkaitan tajuk “Umat Yang Terbaik” (Khairu Ummah). Program ini telah dikendalikan oleh YBrs. Encik Mohd Nubairi bin Mat Nor, Penolong Pengurus (Pembangunan Insan) KETENGAH sebagai moderator program.
Hadir sama YBrs. Tuan Haji Ahmad Fakaruddin bin Ahmad, Timbalan Pengurus Besar (Operasi), Pengurusan KETENGAH, pegawai dan kakitangan KETENGAH serta penduduk Bandar Al Muktafi Billah Shah.
Semoga program ini dapat menyemarakkan lagi syiar dakwah Islam seterusnya dapat memacu pembangunan modal insan penduduk dalam Wilayah KETENGAH.