KETENGAH (Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah) telah memperuntukkan sebanyak RM934,200.00 pada tahun ini untuk disumbangkan kepada golongan memerlukan di wilayah KETENGAH sempena bulan Ramadan Al-Mubarak.
YBhg. Dato’ Seri (Dr.) Ahmad bin Said, Pengerusi KETENGAH hadir menyerahkan sumbangan tersebut dalam Program Ikatan Kasih Madani Wilayah KETENGAH Sempena Ramadan Tahun 2025M/1446H. Majlis ini berlangsung di Balai Orang Ramai (BALORA), Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun, Terengganu. Turut hadir pada program ini ialah YM Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa, Pengurus Besar KETENGAH.
Sumbangan Kepada Asnaf, OKU dan Pesakit Terlantar
Pada majlis tersebut, YBhg. Dato’ Seri (Dr.) Ahmad Said menyampaikan sumbangan Ramadan kepada 3,239 orang penerima yang terdiri daripada golongan Asnaf, Orang Kurang Upaya (OKU) dan Pesakit Terlantar. Peruntukan untuk sumbangan ini berjumlah RM647,800.00, yang bertujuan meringankan beban golongan kurang bernasib baik menghadapi bulan Ramadan.
Bantuan untuk Anak-Anak Yatim
Sejumlah RM243,900.00 diperuntukkan untuk sumbangan Hari Raya kepada 813 anak yatim di wilayah KETENGAH. Setiap penerima menerima kelengkapan pakaian dan duit raya berjumlah RM300.00 bagi memeriahkan sambutan Aidilfitri mereka.
Sumbangan kepada Surau
KETENGAH juga menyerahkan geran sumbangan kepada 85 surau di wilayah KETENGAH dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM42,500.00. Setiap surau menerima sumbangan RM500.00 untuk mengimarahkan masjid dan surau di sepanjang bulan Ramadan dengan pelbagai aktiviti dan program keagamaan.
Pengerusi KETENGAH berkata “Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada mereka yang menerima sumbangan, tetapi ia juga mencerminkan semangat Malaysia Madani yang kita ingin terapkan dalam kehidupan masyarakat. Melalui penglibatan anak-anak syarikat KETENGAH dalam menyumbang, kita turut menggalakkan amalan menderma dan bersedekah dalam kalangan yang lebih berkemampuan”.
Beliau menambah “Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada semua penerima sumbangan pada hari ini. Semoga sumbangan yang disampaikan pada petang ini dapat memberikan sinar dan meringankan beban kepada yang terlibat”.
Selepas majlis penyampaian sumbangan, YBhg. Dato’ Seri (Dr.) Ahmad Said turut berbuka puasa bersama para penerima, pemimpin dan masyarakat setempat di lokasi yang sama.












