KETENGAH sentiasa mengambil cakna hal ehwal komuniti penduduk dalam wilayahnya. Peka dengan perkara tersebut, KETENGAH melalui kerjasama dengan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Terengganu telah menjayakan pelaksanaan Program Ilmu Keluarga Komuniti Madani KETENGAH (PIKAT) Siri-2 Tahun 2024 bagi modul kursus : Pendidikan Kesihatan Keluarga dan Anak (PEKA) pada 9 Mei 2024 (Khamis) bertempat di Dewan Pusat Aktiviti Cakna Bangun Ekonomi (PACBE) UTC Kuala Terengganu.
Seramai 35 peserta telah menghadiri siri program kali ini terdiri daripada penduduk-penduduk kampung yang terlibat dengan projek PROSPEK dalam Wilayah KETENGAH.
Kerjasama pelaksanaan program dengan LPPKN Negeri Terengganu yang telah bermula sejak tahun 2021 ini telah dapat memberi manfaat yang besar kepada penduduk terutama dalam pemerkasaan ilmu kekeluargaan. Bagi Tahun 2024 sebanyak 4 Siri program akan dilaksanakan dengan melibatkan pelbagai kategori penduduk melalui modul-modul kursus yang bersesuaian.
Majlis penutup dan penyampaian sijil peserta telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Haji Mohd Radzi bin Md. Noor, Pengurus Hartanah dan Kuasa Tempatan mewakil Pengurus Besar KETENGAH. Turut hadir bersama YBrs. Encik Muhamad Noh bin Abdullah Pengarah LPPKN Terengganu dan Encik Faizol bin Abd Aziz, Pengurus Pembangunan Masyarakat dan Sosial KETENGAH.
Syabas dan tahniah kepada semua pihak yang telah menjayakan pelaksanaan PIKAT Siri-2 Tahun 2024