Mengambil inspirasi daripada peristiwa hijrah, KETENGAH telah menganjurkan Program Sepakat Asyura Madani Bersama Komuniti sebagai platform untuk memupuk semangat perpaduan, menyemai nilai kasih sayang sesama komuniti, serta mengukuhkan hubungan antara agensi dan masyarakat setempat.
Dengan tema “KETENGAH Sepakat Asyura MADANI”, program ini berperanan sebagai medan dalam menyatukan suara dan tindakan ke arah pembangunan wilayah yang inklusif dan harmoni.
Majlis penutupan dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh YM Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa, Pengurus Besar KETENGAH. Beliau dalam ucapannya berkata “Alhamdulillah, penyertaan 69 jabatan, agensi dan komuniti dalam Pertandingan Bubur Asyura yang dipertandingkan melibatkan 72 buah kawah berjaya dimasak. Bukan nilai hadiah yang menjadi ukuran, tetapi kesepakatan dan semangat kebersamaan yang menjadi tunjang kepada kejayaan program yang kita anjurkan pada kali ini”.
Beliau menambah “Saya yakin dan percaya 92 JPKKP yang berada dalam wilayah KETENGAH akan memberi kerjasama yang cukup erat untuk pembangunan ekonomi dan sosial sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI. Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung dalam menjayakan program kita pada hari ini. Semoga kerjasama yang erat ini dapat diteruskan pada masa akan datang.
Hadir sama pada majlis tersebut, YBhg. Dato’ Seri (Dr) Haji Ahmad bin Said dan pemimpin tempatan.