logo-jata-ketengah

PORTAL RASMI

LEMBAGA KEMAJUAN TERENGGANU TENGAH

Karung Berkunci No 3, 23400,
Al Muktafi Billah Shah, Terengganu

Tel : 098231000 | Emel : ketengah@ketengah.gov.my

PROGRAM SUMBANGAN YAYASAN KETENGAH TAHUN 2026

Keprihatinan terhadap kebajikan penduduk wilayah terus menjadi keutamaan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH). Sehubungan itu, KETENGAH telah berjaya menganjurkan Program Penyampaian Sumbangan Yayasan KETENGAH Tahun 2026 yang melibatkan permohonan penduduk di Zon Bandar Bukit Besi. Sumbangan ini disalurkan bagi membantu meringankan beban golongan yang memerlukan.

Program ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Rozi bin Mamat, Pengerusi KETENGAH. Turut hadir ialah YBrs. Encik Zainuddin bin Haji Md Zaki, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) KETENGAH, serta barisan pengurusan Yayasan KETENGAH.

Dalam program ini, seramai lima (5) orang pelajar telah menerima Sumbangan Pembiayaan Pembelajaran di bawah Program Pembangunan Insan (PPI) Yayasan KETENGAH, dengan peruntukan sebanyak RM1,000.00 bagi setiap penerima. Sumbangan ini diharapkan dapat menjadi pemangkin semangat kepada anak-anak wilayah untuk terus berusaha dan mencapai kecemerlangan dalam bidang pendidikan.

Pengerusi KETENGAH dalam ucapannya menegaskan bahawa KETENGAH komited memastikan tiada pelajar di wilayah KETENGAH tercicir daripada melanjutkan pelajaran akibat kekangan kewangan. Beliau turut menyatakan kesediaan KETENGAH untuk terus membantu penduduk wilayah yang memerlukan sokongan dan pembelaan.

Selain itu, KETENGAH turut menzahirkan keprihatinan melalui Sumbangan Bantuan Bencana Kebakaran berjumlah RM2,000.00 kepada Encik Ismail bin Ibrahim, bagi meringankan beban beliau susulan kejadian kebakaran yang menimpa kediamannya pada 24 Disember 2025.

Semoga sumbangan yang disalurkan ini dapat memberikan manfaat berterusan serta membawa makna yang besar kepada para penerima. KETENGAH akan terus komited melaksanakan inisiatif kebajikan dan pembangunan komuniti secara berterusan demi memastikan kesejahteraan penduduk wilayah sentiasa terpelihara.