Pelaksanaan Program Transformasi Minda (PTM) adalah sebagai salah satu daripada syarat pengesahan dalam perkhidmatan bagi menggantikan Kursus Induksi. Proses PTM ini perlu bagi membangunkan modal insan secara holistik, merangkumi keupayaan sahsiah dan intelektual yang mesti dimiliki oleh pegawai awam bagi memandu pemikiran dan perlakuan dalam rutin harian.
KETENGAH telah melaksanakan PTM ini pada 12-16 Februari 2023 bertempat di Bukit Keluang Beach Resort kepada 40 orang kakitangan lantikan baharu sebagai satu pendekatan untuk memberi pendedahan dan penyesuaian minda pegawai di peringkat awal pelantikan dalam perkhidmatan awam. Antara objektif utama program ini adalah untuk memupuk keperibadian, jati diri dan nilai patriotik pegawai supaya lebih berketrampilan dan kemampuan menyesuaikan diri dalam perkhidmatan awam serta memastikan pegawai memahami prinsip dan falsafah pembentukan negara, jentera pentadbiran kerajaan dan peraturan-peraturan asas perkhidmatan awam serta pembentukan jati diri bagi menghadapi cabaran dan ekspektasi pelanggan. Program ini telah diadakan oleh Bahagian Pentadbiran dan Pengurusan Sumber Manusia dengan kerjasama pihak Mara Excellence Ventures Sdn.Bhd.
Perasmian penutup telah disempurnakan oleh Pengurus Pentadbiran dan Pengurusan Sumber Manusia , Tuan Haji Mohd Radzi bin Md Noor .KETENGAH mengharapkan ilmu sepanjang program ini diaplikasikan sepenuhnya oleh pegawai dan kakitangan baharu dan menjadi teras kepada budaya kerja cemerlang dan berintegriti demi kemajuan dan kemakmuran negara.
Post Views: 1,952