Pusat Santuari Kelah dibuka kepada pelawat bermula dari bulan Mac hingga Oktober dan ia terletak di Sungai Petang, kira-kira 45 minit dari Jeti Pengkalan Gawi. Sungai ini mempunyai 91 aliran yang mengalir dari Gunung Padang. Ia diwartakan untuk perlindungan, pemeliharaan dan pembiakan ikan kelah. Aktiviti memancing adalah dilarang sama sekali di kawasan perlindungan ini bagi tujuan mengekalkan kawasan pembiakan semulajadi untuk ikan-ikan kelah.

Apa yang istimewa tentang Pusat Santuari Kelah ialah pengunjung berpeluang untuk berenang dengan ikan kelah dan menangkapnya dengan tangan. Selain itu, pengunjung juga berpeluang merasa pengalaman untuk menyentuh dan dikerumuni beribu-ribu ikan kelah dan membiarkan ikan-ikan ini menggigit kaki mereka dengan lembut. Walaupun pengunjung dilarang untuk memancing di kawasan perlindungan ini, pengunjung masih boleh merentas hutan ke hulu sungai-sungai lain untuk cuba menangkap Ikan Kelah Emas Malaysia.