logo-jata-ketengah

PORTAL RASMI

LEMBAGA KEMAJUAN TERENGGANU TENGAH

Karung Berkunci No 3, 23400,
Al Muktafi Billah Shah, Terengganu

Tel : 098231000 | Emel : ketengah@ketengah.gov.my

YAYASAN KETENGAH PRIHATIN: PENGERUSI KETENGAH SANTUNI PELAJAR OKU MELALUI SUMBANGAN LAPTOP

8 Februari 2026 (Ahad) – Yayasan KETENGAH terus komited dalam memperkasa pendidikan golongan memerlukan apabila melaksanakan Program Penyampaian Sumbangan Yayasan KETENGAH, melibatkan penyerahan sebuah komputer riba (laptop) kepada seorang pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) yang berpotensi dan berdaya juang tinggi.

Sumbangan tersebut telah disampaikan sendiri oleh YBhg. Dato’ Rozi bin Mamat, Pengerusi KETENGAH, sebagai simbol keprihatinan dan sokongan berterusan Yayasan KETENGAH terhadap pembangunan modal insan, khususnya dalam kalangan pelajar OKU yang berusaha mencapai kecemerlangan akademik dan kemahiran.

Penerima sumbangan, Adik Nur Damia Irsalina binti Daeng Malis, merupakan seorang pelajar OKU yang telah berjaya melanjutkan pengajian di Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu dalam Kursus Pelukis Kanan Rekaan Dalaman. Kejayaan ini membuktikan keupayaan beliau untuk bersaing dan menonjol walaupun berdepan cabaran fizikal yang besar.

Adik Nur Damia merupakan pesakit OKU daripada kategori penyakit genetik yang sangat jarang berlaku, yang menyebabkan ketiadaan keempat-empat anggota badan (tiada tangan dan kaki). Namun begitu, kekurangan tersebut tidak pernah mematahkan semangat beliau untuk terus menuntut ilmu dan membina masa depan yang lebih baik.

Sumbangan komputer riba yang disalurkan oleh Yayasan KETENGAH ini diharap dapat membantu kelancaran pembelajaran, memudahkan pelaksanaan tugasan akademik serta menjadi dorongan moral kepada Adik Nur Damia untuk terus cemerlang dalam bidang rekaan dalaman yang diceburi. Inisiatif ini bukan berlandaskan penilaian terhadap kemampuan atau kekurangan fizikal penerima, sebaliknya merupakan manifestasi keprihatinan Yayasan KETENGAH dalam memastikan akses pendidikan yang inklusif dan berterusan kepada semua pelajar.

Yayasan KETENGAH, di bawah kepimpinan Pengerusi KETENGAH, sentiasa komited dalam melaksanakan inisiatif kebajikan dan pendidikan yang inklusif, selaras dengan usaha membentuk masyarakat yang berdaya tahan, berkemahiran dan berpengetahuan tanpa mengira latar belakang atau kekurangan fizikal.

Turut hadir semasa sesi penyerahan tersebut, Encik Faizol bin Ab Aziz, Pengurus Pembangunan Masyarakat dan Sosial yang mewakili Pengurus Besar KETENGAH.