Seramai 76 orang pelajar SPM aliran TVET bersama 6 orang guru pengiring daripada 8 buah sekolah menengah dalam Wilayah KETENGAH telah menyertai Lawatan Sambil Belajar ke Melaka sempena Sambutan Hari TVET Negara 2025, anjuran KETENGAH melalui Bahagian Pembangunan Masyarakat dan Sosial.
Lawatan ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar berkaitan peluang pengajian dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang semakin relevan dan diperlukan dalam pasaran kerja masa kini.
Antara pengisian utama ialah kehadiran pelajar ke Majlis Perasmian Hari TVET Negara 2025 yang disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, bertempat di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh.
Peserta turut menyertai pameran TVET yang menghimpunkan pelbagai institusi dan agensi berkaitan dengan bidang teknikal dan vokasional. Aktiviti interaktif, maklumat pengajian serta demonstrasi menarik telah berjaya membuka minda pelajar terhadap potensi kerjaya masa depan dalam bidang ini.
Selesai program rasmi, pelajar dibawa melawat ke beberapa lokasi bersejarah di sekitar Bandaraya Melaka seperti:
๐๏ธ Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan
๐๏ธ Bukit Melaka
๐ฐ Kota A Famosa
๐ฏ Muzium Kesultanan Melayu Melaka
Lawatan ini bukan sahaja memberi manfaat dari aspek akademik dan kerjaya, malah turut menanam nilai jati diri dan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.
KETENGAH berharap agar pendedahan ini dapat menyuntik semangat dan kesedaran baharu dalam kalangan pelajar untuk menjadikan bidang TVET sebagai pilihan utama selepas SPM, seterusnya melahirkan tenaga mahir yang mampu memacu pembangunan Wilayah KETENGAH dan negara.