Skuad Sukarelawan KETENGAH telah digerakkan membantu penduduk yang dilanda musibah banjir. Skuad ini melibatkan seramai 80 orang yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan KETENGAH telah membersihkan rumah di Kampung Pasir Raja dan Kampung Shukor bersama agensi-agensi Kerajaan lain.

Pengurus Besar KETENGAH, YM Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa turut serta membersihkan rumah Encik Ramlan bin Ibrahim yang teruk dimasuki lumpur. Hampir kesemua barangan seperti pakaian, perabot dan perkakasan elektrik musnah dalam banjir melanda baru-baru ini. Keadaan lumpur yang tebal dan tekanan air yang rendah menyukarkan pihak sukarelawan melakukan pembersihan. Namun dengan ketabahan dan kudrat serta sifat kerjasama antara mereka, kerja-kerja tersebut dapat disiapkan.

YM Dato’ juga sempat meninjau kerosakan kediaman yang dialami penduduk di Kampung Shukor dan menyantuni mangsa yang terlibat. Hadir sama Timbalan Pengurus Besar (Operasi) Tuan Haji Ahmad Fakaruddin bin Ahmad.