[HMETRO] Tidak mahu TMK21 jadi program syok sendiri

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/12/657763/tidak-mahu-tmk21-jadi-program-syok-sendiri

Kuala Terengganu: Pandangan dan pendapat penggiat pelancongan diambil kira dalam menjayakan aktiviti sempena Tahun Melawat Kenyir 2021 (TMK21).

Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Razali Idris berkata, keputusan mengambil kira pandangan dan pendapat penggiat industri pelancongan menjalankan aktiviti di Tasik Kenyir itu perlu bagi mengelakkan dianggap sebagai program ‘syok sendiri’.

Beliau berkata, walaupun menerima banyak cadangan aktiviti pelancongan daripada pengurusan acara, pandangan penggiat industri pelancongan di tasik buatan manusia terbesar itu perlu diambil kira.

“Penggiat industri pelancongan termasuk persatuan pelancongan Tasik Kenyir, pengusaha rumah bot, pemandu bot laju dan pengusaha perhotelan lebih memahami kehendak serta kemahuan pelancong di situ.

“Kita tidak mahu setiap aktiviti dan program pelancongan diadakan sempena TMK21 dianggap sebagai ‘syok sendiri yang akhirnya tidak mendatangkan sebarang manfaat kepada penggiat industri pelancongan, ” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk TMK-21, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Ketengah, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa.

Razali yang juga Ahli Dewan Negara berkata, Ketengah menyasarkan 50,000 pelancong tempatan setiap bulan bersempena dengan TMK-21.

Beliau berkata, sasaran itu mampu dicapai berdasarkan sambutan menggalakkan daripada orang ramai selepas siri promosi diadakan sejak akhir bulan lalu.

“Semua acara sempena TMK-21 dirangka secara sistematik dengan setiap bulan akan diadakan pelbagai aktiviti mengikut kesesuaian cuaca di negeri ini.

“Jumlah kedatangan pelancong ke Tasik Kenyir sangat menggalakkan selepas kerajaan mengumumkan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Sebelum kerajaan menguatkuasakan PKPB, Tasik Kenyir dikunjungi lebih 40,000 pelancong, terutama pada hujung minggu, ” katanya.

Sumber : HMetro

placeholder
Pintu Masuk Alam Semula Jadi Menakjubkan
Jom Urus Duit DiBalik Tamparan Covid-19.

Artikel Lain