logo-jata-ketengah

PORTAL RASMI

LEMBAGA KEMAJUAN TERENGGANU TENGAH

Karung Berkunci No 3, 23400,
Al Muktafi Billah Shah, Terengganu

Tel : 098231000 | Emel : ketengah@ketengah.gov.my

Perutusan Tahun Baharu 2025

Perutusan_Tahun_Baharu_2025

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Salam Malaysia Madani dan Salam Bersama Membangun.

Alhamdulilah, segala puji dan syukur kita panjatkan ke hadrat Allah SWT. kerana dengan izin-Nya kita dapat melangkah ke Tahun Baharu 2025 dengan semangat yang baru. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh warga KETENGAH atas komitmen dan dedikasi yang telah diberikan sepanjang tahun 2024 yang lalu.

Tahun 2024 adalah tahun yang penuh cabaran namun kita berjaya mencatatkan banyak pencapaian yang membanggakan dalam melaksanakan projek pembangunan untuk manfaat penduduk di wilayah KETENGAH. Pelaksanaan projek ini adalah selari dengan misi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) iaitu meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar secara menyeluruh dan berkesan.

Warga KETENGAH yang dihormati dan dikasihi sekalian.

Dalam aspek pencapaian prestasi perbelanjaan peruntukan pembangunan tahun 2024, kita berjaya mencapai prestasi 85.64%. Walaupun pencapaian ini agak baik, kita tidak boleh berlapang dada tetapi harus menggandakan usaha agar prestasi perbelanjaan tahun 2025 dapat ditingkatkan sehingga 100% bagi memastikan kita agensi peneraju pembangunan luar bandar di wilayah KETENGAH.

Sepanjang tahun 2024, pelbagai kejayaan telah dicatatkan antaranya johan Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam Teknikal dengan projek Sistem Penggera Amaran Air KETENGAH (SPAIK) dan naib johan Anugerah Inovasi Video Kreatif Madani yang bertajuk ‘Mendung Menyinsing’ sempena Majlis Sambutan Hari Inovasi KKDW Tahun 2024. Selain itu, KETENGAH antara sebelas Badan Berkanun Persekutuan yang telah dianugerahkan Sijil Pematuhan Sistem Perakaunan Standard Bagi Agensi Kerajaan (SAGA) oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia. Kejayaan ini adalah hasil usaha bersama dan kerja berpasukan daripada semua pihak sama ada pengurusan, pegawai serta kakitangan.

Warga KETENGAH yang dikasihi sekalian.

Pada tahun 2025, KETENGAH telah diluluskan peruntukan pembangunan berjumlah RM53,229,200 untuk melaksanakan dan membiayai 32 program/ projek merangkumi 3 program/ projek baru berjumlah RM3,400,000 dan 29 program/ projek sambungan berjumlah RM49,829,200. Pelaksanaan program/ projek yang diluluskan ini berdasarkan kepada Pelan Perancangan Strategik KETENGAH Tahun 2021-2025 melibatkan lima teras iaitu ekonomi dan keusahawanan, pembangunan masyarakat, pembangunan prasarana, alam sekitar dan sistem penyampaian. Peruntukan yang diluluskan ini merupakan satu amanah besar untuk dibelanjakan agar segala perancangan program/ projek pembangunan yang dilaksanakan memberi impak kepada masyarakat wilayah KETENGAH.

Antara program/ projek yang akan dilaksanakan di bawah teras ekonomi dan usahawan ialah projek agrotek dan pelaksanaan desa pintar iaitu mewujudkan kawasan pertanian pintar yang menggunakan elemen internet of things (IOT) dan tuisyen intelek di bawah teras pembangunan masyarakat. Selain itu juga, projek naiktaraf infrastruktur seperti sistem perparitan, jalan perhubungan akan dilaksanakan di bawah teras pembangunan prasarana. KETENGAH juga turut melaksanakan projek menaiktaraf sistem kumbahan di bawah teras alam sekitar dan menaiktaraf rangkaian infostruktur di bawah teras sistem penyampaian.

Bagi persediaan Tahun Melawat Malaysia Tahun 2026, KETENGAH juga mengambil peranan dengan menaik taraf kemudahan di kawasan tarikan pelancongan dalam wilayah KETENGAH terutamanya di Tasik Kenyir.

Warga KETENGAH yang dihormati dan dikasihi sekalian

Saya amat optimis bahawa dengan azam yang baru dan semangat yang tidak luntur, kita akan dapat mengatasi segala cabaran yang mendatang dan mencapai kejayaan yang lebih besar pada tahun 2025. Sebagai penjawat awam, kita perlu lebih bersiap sedia untuk memikul tanggungjawab yang semakin besar. Tanggungjawab ini perlu dilaksanakan dengan penuh integriti dan keikhlasan.

Dalam usaha Kerajaan untuk memastikan perkhidmatan awam yang berkualiti dan efisien, Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) telah diperkenalkan. Pada tahun ini, sistem penilaian prestasi tahunan baharu akan digunakan iaitu sistem MyPERFORMANCE yang mengukur lima elemen melibatkan penghasilan kerja, kompetensi fungsian, kompetensi tingkah laku, penglibatan dan sumbangan dan nilai sepunya. Oleh itu, warga KETENGAH perlu menunjukkan prestasi yang cemerlang bagi meningkatkan produktiviti perkhidmatan awam.

Marilah kita bersama-sama berganding bahu dan sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik untuk KETENGAH dan masyarakat wilayah KETENGAH. Semoga tahun baharu ini membawa lebih banyak peluang, kejayaan, dan kemakmuran kepada kita semua.

Saya juga berdoa agar Allah SWT. memberi petunjuk dan kekuatan kepada kita semua untuk melaksanakan amanah ini dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi agar perancangan yang direncana dapat direalisasikan dengan jayanya.

Akhir kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah berusaha gigih dalam menyokong dan memajukan KETENGAH. Semoga tahun 2025 menjadi tahun yang penuh dengan pencapaian gemilang, dan bersama-sama kita akan terus berusaha untuk membawa KETENGAH ke tahap yang lebih tinggi.

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2025

Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa
Pengurus Besar
LEMBAGA KEMAJUAN TERENGGANU TENGAH