Karnival Usahawan Desa 2023 @ Putrajaya telah berakhir semalam. Karnival yang diadakan di Anjung Floria, Putrajaya selama 5 hari bermula 22 Nov hingga 26 Nov 2023 telah mendapat sambutan yang hangat.
KUD 2023 di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) ini diwujudkan untuk memperkukuh dan meluaskan jaringan antara usahawan luar bandar dengan para pembekal mesin, peralatan, teknologi dan inovasi terkini bagi meningkatkan produktiviti serta kualiti produk dan perkhidmatan mereka.
Golongan usahawan desa ini juga mahu diberi pendedahan untuk menggalakkan penerimaan dan penggunaan teknologi moden sekali gus menjadi salah satu medium untuk mewujudkan akses pasaran produk dan perkhidmatan usahawan luar bandar kepada pemborong, pengedar dan pembeli selain mengadakan jualan secara terus kepada pengguna.
Mereka yang menyertai KUD tahun ini juga diberi peluang meningkatkan daya saing dan kebolehpasaran produk luar bandar serta menerokai peluang pasaran baharu yang lebih besar sama ada dalam atau luar negara dengan pengurusan pemasaran secara sistematik.
Melalui aktiviti ini, harap ia dapat memperkasakan usahawan dengan ilmu pengetahuan serta mencungkil usahawan yang berpotensi sehingga ke peringkat global, di samping menarik minat orang ramai untuk berkecimpung dalam bidang keusahawanan.
Bagi koleksi gambar dan video, anda boleh layari Facebook Rasmi KETENGAH.