Kursus Asas Pengurusan Kewangan dan Pemasaran

Kementerian Pembangunan Luar Bandar melalui Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) memberikan fokus utama dalam bidang keusahawanan malah ianya merupakan teras ketiga dalam Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar 2018-2023 iaitu Keusahawanan. Dalam memperkasakan agenda tersebut, KETENGAH telah menganjurkan satu Kursus Asas Pengurusan Kewangan dan Pemasaran pada 14 Oktober 2019 bertempat di Pusat Komuniti Desa (PKD), Bandar Al Muktafi Billah Shah, Terengganu. Kursus yang diadakan selama sehari ini telah disertai seramai 22 orang usahawan bimbingan KETENGAH.

Pengurusan kewangan yang unggul merupakan teras kepada sesebuah perniagaan. Oleh itu, keupayaan mengurus kewangan merupakan satu aspek kritikal yang perlu diberi perhatian dalam membangunkan perniagaan. Inilah yang menjadi intipati kursus di mana para peserta didedahkan dengan pengurusan kewangan yang sistematik dan terancang serta kaedah pemasaran yang berkesan dan optimum. Objektif utama penganjuran kursus ini adalah untuk melahirkan peserta yang berilmu, berkemahiran, berdaya maju dan mampu mengorak langkah lebih jauh dalam bidang pertanian, ternakan dan keusahawanan. Pada masa yang sama pendedahan mengenai pengurusan kewangan dan pemasaran yang sistematik merupakan aset yang perlu ada dalam diri setiap usahawan. Pengurusan pemasaran pada masa kini lebih tertumpu kepada penggunaan media sosial seperti facebook, Instagram, twitter dan pelbagai lagi. Pengurusan kewangan melibatkan duit dan penyediaan akaun juga merupakan penyumbang kepada kemajuan setiap perniagaan. Puan Shahira Elani Mat Daud dari Fast One Management Sdn. Bhd. telah diamanahkan untuk mengendalikan kursus ini.

KETENGAH berhasrat melalui pendedahan yang diberikan melalui kursus ini, peserta-peserta dapat menambahkan ilmu pengetahuan di samping menggilap bakat dan kemahiran sedia ada untuk terus memajukan ekonomi setempat dengan  kemudahan-kemudahan yang tersedia.

Program Gotong Royong
Sumbangan Dihulur, Ringankan Beban

Artikel Lain