Perhimpunan Bulanan KETENGAH kali pertama bagi Tahun 2025 telah diadakan pada 5 Januari 2025 bertempat di Tingkat 3 Blok D Ibu Pejabat KETENGAH Bandar Al Muktafi Billah Shah. Perhimpunan yang menghimpunkan kesemua pegawai dan kakitangan KETENGAH dan Anak Syarikat ini merupakan salah satu medium penyampaian maklumat terkini jabatan dan dasar-dasar kerajaan kepada warga kerja KETENGAH.
YM Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa, Pengurus Besar KETENGAH berkata, “Saya ingin memulakan perhimpunan kita pada kali ini dengan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua yang telah bekerja keras dan memberi komitmen sepanjang tahun 2024. Saya ingin menyatakan penghargaan saya kepada semua atas dedikasi, ketekunan, dan semangat kerja yang tidak kenal lelah. Tanpa usaha dan kerjasama anda semua, kejayaan yang kita capai sepanjang tahun 2024 tidak mungkin menjadi kenyataan”.
Beliau menambah, “Kita telah menghadapi pelbagai cabaran, namun dengan semangat berpasukan dan sikap positif, kita berjaya menanganinya bersama. Tidak kira kecil atau besar, setiap pencapaian yang kita raih adalah hasil daripada usaha bersama. beliau amat menekankan tentang aspek disiplin dan harus mengamalkan integriti dalam setiap tugasan yang telah diamanahkan”.
Pada majlis yang sama disampaikan Anugerah Pekerja Terbaik Bulanan (Oktober 2024 – Disember 2024). Pekerja cemerlang dari Kumpulan Pengurusan dan Professional (Gred 9-10) dianugerahkan kepada Puan Noraina binti Che Daud. Encik Tarmizi bin Alang Salim pula dari Kumpulan Pelaksana (Gred 5-8). Manakala Encik Zamri bin Mansor dan Encik Nik Li bin Nik Abdullah pula mewakili Kumpulan Pelaksana (Gred 1-4).
Seramai 18 orang pegawai dan kakitangan lantikan baru juga telah memperkenalkan diri masing – masing. Mereka mula berkhidmat sebagai penjawat awam di KETENGAH bermula pada November 2024.