GM-tahun-baru-2020

Tahun Baharu 2021: Terus mengorak langkah memacu Wilayah Terengganu Tengah

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamua’laikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera Luar Bandar

Marilah sama-sama kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT. kerana dengan limpah kurniaNya dapat kita menyambut kedatangan Tahun Baharu 1443 Hijrah dan Tahun Masihi 2021. Tahun 2020 berlalu begitu pantas dan kini kita telah melangkah ke tahun 2021 dan saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu kepada seluruh warga Ketengah. Seiring dengan pertambahan usia kita, datang juga bersekali dengan amanah besar yang akan terus dipikul ke bahu kita untuk menjalankan segala tugas sebagai penjawat awam serta sebagai seorang insan. Semoga tahun 2021 akan memberi semangat kepada kita untuk menggalas amanah dan tanggungjawab dengan lebih berdedikasi dan meningkatkan pencapaian Ketengah.

Syukur alhamdulillah Ketengah telah berjaya melalui tahun 2020 dengan pelbagai cabaran dalam usaha memastikan kesejahteraan luar bandar. Pada tahun lalu, Ketengah mencatat kemajuan sepanjang tahun 2020 selari dengan hasrat dalam Bajet 2020 yang lalu bertemakan “Memacukan Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama ke Arah Kemakmuran Bersama”. Tahun 2020 telah berlalu dengan meninggalkan banyak kenangan pahit manis dan pengajaran kepada kita. Yang baik perlu kita jadikan teladan manakala yang buruk jadikan sempadan dan sebagai peringatan untuk masa hadapan.  Justeru itu kita perlu muhasabah diri iaitu membuat penilaian ke atas diri kita sendiri dengan mencari kekuatan dan kelemahan diri.  Ini penting sebagai satu usaha untuk memperbaiki diri daripada segala kelemahan dan kesilapan yang boleh membawa kesan tidak baik ke atas apa jua yang kita lakukan.

Memasuki tahun 2021, bermakna Ketengah telah mencapai usia 48 tahun iaitu satu usia yang cukup matang.  Dalam tempoh tersebut, telah banyak yang dilaksanakan di wilayah ini yang pada mulanya serba kekurangan semenjak tahun pembukaannya satu masa dahulu.  Namun begitu, harus kita akui bahawa masih banyak lagi yang perlu kita lakukan untuk terus meningkatkan pembangunan di Wilayah Ketengah.

Satu perkara yang perlu dipandang serius di era 2021 ini adalah mengenai isu COVID-19 yang telah mencetuskan fenomena dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat di Malaysia dan seluruh dunia umumnya. Kemunculan virus ini sebenarnya menjadi satu peringatan dan titik tolak kepada kita untuk mementingkan amalan gaya hidup sihat, mengamalkan kebersihan dan seterusnya mengekalkan amalan ini sebagai norma baharu dalam kehidupan seharian. Justeru itu, penting bagi kita untuk terus mematuhi Standard Operation Procedure (SOP) yang telah ditetapkan sebagai langkah pencegahan supaya virus merbahaya ini tidak terus mengancam keselamatan dan kesejahteraan hidup kita.

Kita juga perlu lebih serius dan memberi tumpuan yang mendalam terhadap pembangunan yang dijalankan agar kepesatan pembangunan di Wilayah Ketengah dapat dizahirkan dengan lebih jelas demi manfaat dan kesejahteraan penduduk.  Ini termasuklah pembinaan pelbagai infrastruktur, projek baik pulih dan naik taraf di bandar-bandar dan kampung-kampung, pembangunan Tasik Kenyir, pembangunan insan, pembangunan usahawan, pembangunan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dan peningkatan kemudahan untuk penduduk.

Istimewanya tahun ini, kita menganjurkan Tahun Melawat Kenyir 2021 (TMK 2021) sepanjang tahun bermula Januari hingga Disember dengan slogan Kenyir Semula Jadi dengan memfokuskan tempat-tempat menarik dalam wilayah. Promosi TMK 2021 akan terus dilaksanakan sepanjang tahun melalui aktiviti-aktiviti menarik yang dijangka boleh menjadi tarikan pelancong dengan sasarannya seramai 600,000 orang untuk mengunjungi Tasik Kenyir dan sekitarnya. Di samping itu, TMK 2021 akan dapat memberi peluang untuk orang ramai menerokai khazanah alam semula jadi serta keindahan warisan flora dan fauna di tasik buatan manusia yang kedua terbesar di Asia Tenggara ini. Tasik Kenyir merupakan sebuah tasik buatan dengan keluasan 38000 hektar yang terletak di daerah Hulu Terengganu dan juga menjadi antara pintu masuk ke Taman Negara yang terkenal di serata dunia.

Ketengah berharap dapat mencapai kecemerlangan dalam setiap bidang baik dari segi pembangunan, ekonomi, sukan dan sebagainya kerana ia akan memberi impak dan imej yang baik kepada jabatan.  Tidak salah bagi kita untuk mengejar kejayaan dan anugerah kerana akan menjadi penanda aras yang dapat menunjukkan kedudukan sebenarnya kita. Kejayaan juga akan menjadi pendorong bagi kita untuk terus meningkatkan pencapaian yang dicapai sekarang dan masa hadapan.  Namun begitu kita tidak boleh merasa selesa dengan apa yang telah kita capai malah kita mesti terus memandang ke hadapan untuk mengukir kejayaan yang lebih besar lagi.

Satu pra syarat penting di dalam mengukir kejayaan ialah disiplin dan kerja berpasukan.  Walaupun kita dipecahkan kepada bahagian-bahagian ini adalah atas dasar pengurusan dan pentadbiran semata-mata dan matlamat kita tetap satu iaitu menjayakan pembangunan yang dijalankan oleh Ketengah.  Pada masa yang sama juga kakitangan perlu menghayati segala nilai murni sebagaimana tuntutan agama serta bekerja dengan penuh integriti. Adalah menjadi tugas kita semua untuk memastikan segala perancangan yang telah kita gariskan di dalam Pelan Strategik Ketengah Tahun 2021-2025 dapat membawa Ketengah ke mercu kejayaan.  Insyaallah, ini akan dapat dicapai jika semua warga bekerjasama dan progresif demi meletakkan matlamat Wilayah Ketengah yang maju dan makmur sebagai agenda utama.

Akhirnya saya berdoa ke hadrat Allah SWT. Agar memberikan kita semua kebijaksanaan, kecekalan dan kekuatan bagi meneruskan tugas-tugas kita dengan cemerlang pada tahun ini demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BAHARU 2021 

Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa
Pengurus Besar
LEMBAGA KEMAJUAN TERENGGANU TENGAH