Soalan Lazim Perintah Kawalan Pergerakan KETENGAH

LEMBAGA KEMAJUAN TERENGGANU TENGAH (KETENGAH)

  1. Adakah perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan kebersihan kawasan di perbandaran KETENGAH masih diteruskan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan?

    Perkhidmatan ini masih beroperasi mengikut jadual yang ditetapkan dengan langkah–langkah pencegahan.
  2. Adakah perkhidmatan kaunter kutipan bayaran masih beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan?

    Kaunter bayaran ditutup dan sebarang bayaran ditangguhkan dan boleh dibuat selepas tempoh ini tanpa apa-apa cas.
  3. Adakah kemudahan awam seperti BALORA, dewan orang ramai dan kompleks sukan masih dibuka untuk sewaan dan penggunaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan?

    Kemudahan awam ini ditutup kepada sewaan dan penggunaan orang ramai sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan.
  4. Adakah kawasan – kawasan pelancongan dalam Wilayah KETENGAH termasuk di Tasik Kenyir masih beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini?

    Pengoperasian kawasan-kawasan pelancongan ini ditutup kepada orang ramai sepanjang tempoh ini.
  5. Adakah kilang – kilang sawit dan kuari di bawah syarikat anak KETENGAH masih beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini?

    Kilang – kilang sawit di bawah syarikat anak KETENGAH beroperasi seperti biasa bermula 19 Mac 2020 berdasarkan saranan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komuniti yang melihat industri sawit menyumbang kepada rantaian bekalan berkaitan penyediaan perkhidmatan perlu seperti pembekalan minyak masak dan pembekalan peralatan perubatan seperti sarung tangan (gloves) dan kateter (catheter). Sementara kuari ditutup sepanjang tempoh ini.
  6. Adakah Pusat Penerangan Kenyir (PPK) di Pengkalan Gawi ditutup sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini?

    Pusat Penerangan Kenyir (PPK) ditutup kepada orang ramai. Walau bagaimanapun perkhidmatan Khidmat Pelanggan masih beroperasi secara talian dengan menghubungi di talian 09 – 6664111.
  7. Adakah pengoperasian Kelab Golf Bukit Besi (KGBB) beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini?

    Pengoperasiann Kelab Golf Bukit Besi ditutup sepanjang tempoh ini.
  8. Adakah program – program kemasyarakatan yang telah dirancang untuk dilaksanakan oleh KETENGAH dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan masih diteruskan?

    Program – program ini ditangguhkan pelaksanaannya sepanjang tempoh ini.
  9. Adakah projek – projek pembinaan yang dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik oleh KETENGAH masih berjalan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini?

    Projek – projek ini ditangguhkan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ini.
  10. Saya telah membuat tempahan dan bayaran tiket ke Santuari Kelah, Tasik Kenyir dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Adakah saya boleh membuat tuntutan semula bayaran tersebut?

    Boleh. Sebarang pertanyaan dan keterangan lanjut boleh menghubungi pegawai bertanggungjawab di talian 019-2227572.
  11. Adakah perkhidmatan pelancongan di Tasik Kenyir seperti House Boat dan bot laju beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini?

    Perkhidmatan ini tidak beroperasi sepanjang tempoh ini.
  12. Adakah aktiviti Pasar Malam atau Pasar Tani di kawasan wilayah KETENGAH beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini?

    Aktiviti ini tidak beroperasi sepanjang tempoh ini.
  13. Saya merupakan penyewa premis perniagaan di bawah KETENGAH yang menjalankan perniagaan kedai makan. Adakah saya boleh menjalankan operasi seperti biasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini?

    Boleh. Tetapi hanya melibatkan jualan secara pembungkusan (take away) dan penghantaran (COD) sahaja.
  14. Saya merupakan penduduk di perbandaran KETENGAH. Sekiranya berlaku kebocoran sistem kumbahan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, bolehkah saya mendapatkan perkhidmatan pembaikan daripada KETENGAH?

    Boleh. Perkhidmatan ini masih beroperasi seperti biasa dan sebarang aduan boleh dikemukakan secara atas talian melalui emel ketengah@ketengah.gov.my atau menghubungi pegawai bertanggungjawab ditalian 019-9133401.
  15. Adakah KETENGAH menyediakan diskaun khas bagi sewaan premis perniagaan KETENGAH akibat penularan wabak Covid -19?

    Ya, KETENGAH menyediakan diskaun khas sebanyak 30% bagi sewaan bulanan premis perniagaan selama enam (6) bulan bermula 1 April 2020 tertakluk kepada syarat berikut: i. Usahawan dan peniaga yang terkesan dengan penularan wabak Covid19; dan ii. Tidak mempunyai tunggakan bayaran sewa lebih daripada dua (2) bulan.
  16. Siapakah yang layak mendapat diskaun khas 30% bagi sewaan premis KETENGAH ini ?

    Usahawan dan peniaga yang menjalankan aktiviti perniagaan penting (Essential) di premis-premis perniagaan KETENGAH dan masih dibenarkan menjalankan aktiviti perniagaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020 hingga 14 April 2020 (tertakluk kepada perubahan tempoh PKP dari semasa ke semasa) layak mendapat insentif diskaun khas ini.
  17. Dimanakah borang permohonan diskaun khas 30% bagi sewaan premis KETENGAH boleh didapati?

    Permohonan ini boleh dibuat secara atas talian (on-line) melalui Portal Rasmi KETENGAH di pautan https://www.ketengah.gov.my mulai 15 April 2020.
  18. Adakah KETENGAH menyediakan pengecualian bayaran bagi sewaan Premis Perniagaan KETENGAH dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19?

    Ya, KETENGAH menyediakan pengecualian bayaran sewaan premis perniagaan KETENGAH dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac hingga 14 April 2020 (tertakluk kepada perubahan tempoh PKP dari semasa ke semasa).
  19. Siapakah yang layak mendapat pengecualian bayaran bagi sewaan Premis Perniagaan KETENGAH dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19 ini?

    Usahawan dan peniaga yang menyewa premis perniagaan KETENGAH dan menjalankan perniagaan bukan penting (non-essential) yang tidak dibenarkan menjalankan aktiviti perniagaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) layak mendapat pengecualian bayaran ini KECUALI Badan-badan Kerajaan, persatuan dan sebagainya adalah TIDAK LAYAK.
  20. Dimanakah borang permohonan penangguhan bayaran bagi sewaan Premis Perniagaan KETENGAH boleh didapati?

    Permohonan ini boleh dibuat secara atas talian (on-line) melalui Portal Rasmi KETENGAH di pautan https://www.ketengah.gov.my mulai 15 April 2020.
  21. Adakah KETENGAH menyediakan insentif penangguhan bayaran sewa / sewa beli rumah kediaman KETENGAH akibat penularan wabak Covid-19?

    Ya, KETENGAH menyediakan insentif penangguhan bayaran sewa / sewa beli rumah kediaman KETENGAH selama tiga (3) bulan bermula April hingga Jun 2020 secara automatik. Penangguhan ini akan melibatkan penjadualan semula Jadual Pembayaran Sewa / Sewa Beli sedia ada.
  22. Siapakah yang layak mendapat insentif penangguhan bayaran sewa / sewa beli rumah kediaman KETENGAH ini?

    Semua penyewa dan pembeli rumah kediaman KETENGAH yang menandatangani Dokumen Perjanjian yang sah dan masih dalam tempoh penyewaan atau sewa beli.
  23. Dimanakah borang permohonan penangguhan bayaran bagi sewa / sewa beli rumah kediaman KETENGAH ini?

    Penangguhan bayaran ini adalah secara automatik. Penyewa dan pembeli rumah kediaman tidak perlu memohon untuk insentif penangguhan bayaran ini.

Bagi mendapatkan informasi terkini sila layari www.ketengah.gov.my atau hubungi KETENGAH Call Center di talian 09-8231000

Talian Hotline KETENGAH
KPLB perkenalkan insentif bantu Usahawan terkesan Covid19

Artikel Lain