PerutusanTahunBaharu2023

Bismillahirahmanirrahim.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Selamat Sejahtera dan Salam Bersama Membangun.

Warga KETENGAH yang dihormati dan dikasihi sekalian,

Alhamdullilah syukur kepada Allah SWT kerana kita dapat bersua dan sama-sama melangkah ke Tahun Baharu 2023. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2023 kepada warga KETENGAH.

Meskipun kita mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan namun, ini tidak sesekali mematahkan semangat kita selaku warga kerja KETENGAH untuk merencanakan pembangunan wilayah dengan lebih cemerlang.

Saban tahun kita menyambut tahun baharu dengan bermuhasabah. Percaya pada janji Allah SWT, setiap kesukaran akan disertai kemudahan. Berbekalkan keyakinan ini, saya ingin menyeru kepada warga KETENGAH agar dapat mengekalkan momentum pencapaian untuk menghadapi cabaran baharu pada tahun 2023. Jadikahlah KETENGAH tersohor sebagai satu agensi yang terbaik di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Dengan ketibaan tahun 2023 ini, maka bermulalah lagi lembaran baharu dalam kehidupan kita. Saya berdoa semoga tahun 2023 ini memberikan sinar baharu kepada warga KETENGAH sejajar dengan Sambutan Jubli Emas 50 Tahun yang akan disambut pada 12 April nanti.

Oleh itu, saya berpendapat bahawa bagi tahun ini kita perlu berkerja lebih kuat selain menyatakan hari tahun baharu yang sememangnya memberi satu permulaan bagi kita melaksanakan perubahan dan transformasi supaya wilayah ini dapat mencapai pembangunan lestari. Pembangunan lestari perlu berterusan bagi memastikan kesejahteraan masyarakat desa dan wilayah. Beberapa perkara yang perlu kita perhalusi bersama ialah pembangunan usahawan desa dan peluang pekerjaan kepada masyarakat desa selaras dengan saranan YAB Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah agar konsep
kemajuan desa diberi makna besar yang didorong oleh 4 imperatif utama iaitu:

  • Data dan Digital
  • Ekonomi
  • Sosial dan Sahsiah
  • Akses dan Alam Sekitar

Kini menjadi keutamaan kerajaan dalam menangani isu kos sara hidup tinggi yang membelenggu rakyat. Jawatankuasa Pelaksanaan dan Pemantauan Kos Sara Hidup telah diwujudkan untuk memantau dan mencari penyelesaian holistik secara bersama bagi menangani permasalahan ini secara tuntas. Kita akan bersama-sama kerajaan memberi tumpuan dan keutamaan dalam membantu meringankan beban rakyat terutamanya masyarakat di desa selari dengan fungsi kementerian kita iaitu melahirkan masyarakat desa yang sejahtera dalam pelbagai aspek kehidupan bukan sahaja infrastruktur malah sosial, ekonomi, budaya dan persekitaran.

Warga KETENGAH yang dihormati dan dikasihi sekalian,

Tahun 2022, menyaksikan pandemik COVID-19 masih wujud apabila gelombang baharu iaitu sub-varian Omicron yang terus menjadi dominan. Pelbagai langkah proaktif telah dilaksanakan oleh kerajaan untuk membendung pandemik COVID-19. Usaha bersama antara kerajaan dan rakyat telah membuahkan hasil apabila mutakhir ini, pemulihan semua sektor dalam negara yang terkesan oleh pandemik COVID-19 kekal di landasan positif.

Namun, ini tidak bermakna perjuangan menentang virus maut itu sudah di penghujung kerana walaupun kita sudah lengkap vaksinasi termasuk dos penggalak, kemungkinan untuk seseorang dijangkiti virus itu tetap ada, cuma rata-rata kes merekodkan gejala ringan atau langsung tidak bergejala.

Kerajaan juga memerlukan sokongan rakyat untuk terus patuh kepada SOP dan mengamalkan kawalan kendiri. Tatkala kita menghampiri penghujung tahun 2022, kita diuji dengan insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali dan bencana banjir yang agak luar biasa terutama di negeri Pantai Timur. Terengganu mencatat keseluruhan mangsa seramai 41,021orang di 8 daerah. Bagi Wilayah KETENGAH pula, seramai
8,052 orang mangsa dicatatkan dengan melibatkan 54 buah Pusat Penempatan Sementara (PPS) di 3 daerah.

Bencana ini bukan sahaja telah memusnahkan harta benda, malah menyebabkan kehilangan nyawa. Saya berasa amat sedih dan dukacita dengan kehilangan nyawa yang menjadi korban bencana. Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berdoa semoga mereka tabah menghadapi ujian ini. Al Fatihah (dibaca dan bertafakur seketika) buat keluarga mangsa yang terlibat.

Di sebalik tragedi dan kesedihan, musibah banjir ini telah menyerlahkan semangat kekitaan iaitu kebersamaan dalam kalangan rakyat tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan pangkat. Kita sedar kehidupan mangsa-mangsa banjir untuk beberapa bulan mendatang adalah amat mencabar dan memerlukan sokongan kita untuk bangkit semula membina kehidupan.

Lantaran itu, KETENGAH telah mengambil pendekatan yang inklusif menghadapi bencana banjir di wilayah dengan terus menyalurkan kit bantuan bencana dan gotong-royong membersihkan kediaman dan tempat-tempat awam yang terkesan bencana.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Skuad Sukarelawan KETENGAH dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) KETENGAH yang sama-sama bertungkus lumus membantu misi bantuan semasa banjir serta melakukan kerja-kerja pemulihan pasca banjir. Syabas dan tahniah saya ucapkan.

Perdana Menteri juga prihatin terhadap keadaan di Pantai Timur dan terus mengumumkan peruntukan segera RM50 juta masing-masing untuk Terengganu dan Kelantan sebagai bantuan awal untuk meringankan beban rakyat akibat bencana Monsun Timur Laut. Peruntukan ini dianggap keperluan segera yang melibatkan kebajikan rakyat.

Tahun 2022 juga menyaksikan cabaran ketidakstabilan politik. Kini, kemelut politik telah pulih dan rakyat mempamerkan kematangan dalam berpolitik dan sekali gus kestabilan ini mampu mewujudkan ekosistem pelaburan yang kondusif bagi memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan utama di Asia Tenggara. Politik matang membantu menyatukan kita dan bukanlah memecahkan kita.

Di sebalik segala kesulitan yang kita hadapi, tahun 2022 juga menyaksikan permulaan usaha kerajaan untuk memulih dan menstrukturkan ekonomi negara. Ini telah membuahkan hasil dengan pencapaian positif beberapa indikator-indikator utama ekonomi makro dan rakyat. Kita panjatkan setinggi doa ke hadrat llahi semoga ekonomi negara kembali dan semakin teguh. InsyaAllah.

Saya juga sedar wilayah kita masih menghadapi cabaran dan kesusahan. Oleh itu, langkah-langkah yang telah dan akan terus kita ambil bagi memastikan pembangunan wilayah kita mampan dan inklusif, meluas serta memanfaatkan setiap segmen masyarakat desa. Ini adalah kerana saya ingin semua kumpulan sasar mendapat nikmat daripada kemajuan wilayah yang sedang kita majukan agar tiada seorang pun yang ketinggalan.

Mengimbau kembali pencapaian kita pada tahun 2022, KETENGAH telah mencatatkan perbelanjaan sebanyak 96.83%. Tahun 2023 juga menandakan pencapaian yang pastinya berbeza, kerana tahun ini kita akan menggandakan usaha untuk memastikan tadbir urus yang baik dalam semua sektor, termasuklah tidak membenarkan kesilapan lalu dilupakan begitu sahaja. Hal ini kerana kesan negatif signifikan terhadap pembangunan wilayah akan
merosakkan peluang kemajuan desa.

Tahun 2023 bakal menjanjikan sekali lagi sinar harapan yang gemilang buat kita untuk memperbaiki sebarang kelemahan yang kita ada selaku anggota perkhidmatan awam yang perlu sentiasa proaktif dan responsif terhadap keperluan semasa rakyat dan negara. Amanah dan tanggungjawab yang diberikan inilah yang sentiasa perlu kita galas dengan teguh.

Kerjasama yang kukuh, kesefahaman jitu dan sokongan dengan mengetepikan kepentingan individu dan ego merupakan faktor utama kejayaan dalam memastikan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada rakyat terutama kumpulan sasar di Wilayah KETENGAH. Mengambil iktibar daripada cabaran dan pencapaian sepanjang tahun 2022 saya ingin mengajak warga KETENGAH untuk melangkah ke tahun baharu 2023.

Sempena Tahun Baharu 2023 ini, marilah kita mencipta sinar baharu untuk Wilayah KETENGAH, membuat resolusi untuk meraikan persamaan dan mengenepikan perbezaan yang wujud antara kita.

Akhir kata, saya ingin warga KETENGAH lebih optimis untuk kekal memberikan komitmen yang terbaik dalam apa jua tugasan yang diamanahkan. Ayuh, kita terus bekerja bersama untuk meneruskan agenda kemajuan wilayah tercinta ini dengan lebih yakin dan berani bahawa tahun ini ini akan lebih baik daripada tahun sebelumnya. Selamat menyambut Tahun Baharu 2023.

Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

YM DATO’ TENGKU AHMAD NADZRI TENGKU MUSA
1 JANUARI 2023
PENGURUS BESAR
LEMBAGA KEMAJUAN TERENGGANU TENGAH (KETENGAH)