Al Muktafi Billah Shah, Dungun, 10 Mei 2026 (Ahad) | Majlis Perhimpunan Bulanan KETENGAH Kali Ke-2 Tahun 2026 telah berlangsung dengan jayanya melibatkan seluruh warga kerja KETENGAH. Perhimpunan bulanan ini diadakan sebagai medium rasmi untuk menyampaikan amanat, dasar terbaharu serta maklumat penting daripada pihak pengurusan atasan kepada warga kerja, di samping memupuk semangat kerjasama, kebersamaan dan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga KETENGAH termasuk anak syarikat.
YM Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa, Pengurus Besar KETENGAH dalam ucapannya telah memaklumkan YBhg. Dato’ Sri Suriani binti Dato’ Ahmad dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkuat kuasa mulai 4 Mei 2026 bagi menggantikan YBhg. Datuk Muhd Khair Razman bin Mohamed Annuar yang telah bersara.
YM Dato’ turut mengalu-alukan kehadiran pegawai dan kakitangan baharu yang telah dilantik untuk berkhidmat di KETENGAH melibatkan seramai 26 orang.
Dalam masa yang sama, beliau menegaskan beberapa perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh seluruh warga kerja KETENGAH, antaranya:
i. Perbelanjaan Berhemah (Value for Money);
ii. Penjimatan Sumber Utiliti dan Logistik; dan
iii. Pengawalan Kos Projek
Sebelum mengakhiri ucapan, YM Dato’ turut berpesan agar seluruh warga kerja sentiasa mengamalkan nilai amanah, jujur dan penuh rasa tanggungjawab dalam melaksanakan tugas. Budaya bekerja secara silo juga perlu ditinggalkan dengan mengutamakan kerjasama dan silang fungsi (cross-functional collaboration) agar seluruh warga KETENGAH dapat melangkah sederap sebagai satu pasukan.
Beliau turut menyeru seluruh warga KETENGAH agar terus berpegang kepada slogan “Always Break The Pattern” iaitu sentiasa mencabar diri untuk menjadi lebih baik daripada sebelumnya demi merealisasikan visi dan misi KETENGAH secara bersama.
Dalam majlis yang sama, turut disampaikan Hadiah Pengiktirafan Akademik (HPA) serta penghargaan kecemerlangan kepada anak-anak warga KETENGAH yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM dan UPKK sebagai tanda penghargaan atas usaha dan kejayaan yang dicapai.

















