Kemaman, 11 Mei 2026 (Isnin) | Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui inisiatif Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) terus komited dalam usaha mentransformasikan kawasan luar bandar melalui pendekatan pembangunan ekonomi yang lebih menyeluruh, berdaya tahan dan mampan.
KETENGAH sebagai agensi pelaksana telah melaksanakan projek ini sejak tahun 2025 di Kampung Seberang Tayor Hilir dan Kampung Seberang Tayor Hulu melalui projek tanaman jagung secara berkelompok. Pelaksanaan projek ini turut disokong dengan pelbagai bentuk bantuan infrastruktur dan kemudahan seperti drainage drill (cattle catcher), pusat pengumpulan dan stor input pertanian sebagai pusat operasi kelompok, mercu tanda projek sebagai identiti pembangunan kawasan, kerja-kerja penyelenggaraan perparitan serta pembersihan kawasan bagi memastikan kawasan pertanian berada dalam keadaan optimum.
Selain itu, penyediaan mesin tugal biji benih sebanyak dua (2) unit telah membantu meningkatkan kecekapan kerja penanaman, manakala papan tanda projek pula berfungsi sebagai medium maklumat dan penjenamaan inisiatif kepada komuniti setempat. Semua komponen ini telah memberi impak positif dalam mempercepatkan proses kerja serta meningkatkan produktiviti hasil tanaman jagung di kawasan berkenaan.
Pada masa yang sama, para peserta projek tanaman jagung di Kampung Seberang Tayor Hilir telah berjaya memperolehi Sijil Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM). Penganugerahan sijil ini membuktikan bahawa amalan penanaman yang dilaksanakan adalah mengikut piawaian keselamatan, kualiti dan kelestarian yang ditetapkan, sekali gus meningkatkan nilai pasaran hasil tanaman jagung yang diusahakan.
YM Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa, Pengurus Besar KETENGAH bersama-sama barisan pengurusan telah mengadakan lawatan turun padang ke lokasi projek bagi meninjau sendiri perkembangan semasa serta menilai keberkesanan pelaksanaan projek di peringkat lapangan. Lawatan ini turut mencerminkan komitmen pihak pengurusan dalam memastikan setiap inisiatif yang dirancang dapat dilaksanakan dengan berkesan serta memberi manfaat optimum kepada peserta.
Dalam lawatan tersebut, YM Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa, Pengurus Besar KETENGAH turut berkesempatan mencuba sendiri hasil tanaman jagung manis yang telah dituai, sebagai simbol sokongan dan apresiasi terhadap usaha gigih para peserta projek.
Menurut Ab. Khalid bin Kamaludin, Ketua Kelompok Tanaman Jagung Seberang Tayor Hilir, kehadiran YM Dato’ telah memberikan suntikan semangat yang besar kepada para peserta serta meningkatkan keyakinan mereka terhadap potensi projek ini untuk terus berkembang. Beliau turut menzahirkan penghargaan atas keprihatinan KETENGAH dalam membantu golongan petani, khususnya dalam memperkukuh ekonomi komuniti luar bandar agar lebih berdaya saing dan berdaya maju pada masa hadapan.























