logo-jata-ketengah

PORTAL RASMI

LEMBAGA KEMAJUAN TERENGGANU TENGAH

Karung Berkunci No 3, 23400,
Al Muktafi Billah Shah, Terengganu

Tel : 098231000 | Emel : ketengah@ketengah.gov.my

Majlis Ramah Mesra Persatuan Pesara KETENGAH Kembalikan Nostalgia

16 April 2026- Majlis Ramah Mesra Persatuan Pesara KETENGAH telah berlangsung dengan penuh meriah dan harmoni di Kelab Golf Bukit Besi (KGBB) menghimpunkan para pesara KETENGAH dalam suasana penuh ukhuwah.

Program ini dianjurkan oleh Persatuan Pesara KETENGAH sebagai platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga pesara, di samping menghargai jasa dan sumbangan mereka yang telah banyak mencurahkan bakti sepanjang perkhidmatan bersama Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH).

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Pengurus Besar (Operasi), Tuan Haji Mahdi Amin bin Ahmad yang mewakili pihak pengurusan KETENGAH. Kehadiran beliau mencerminkan komitmen berterusan KETENGAH dalam mengekalkan hubungan erat dengan para pesara serta menghargai peranan mereka sebagai tunjang kepada pembangunan organisasi pada masa lalu.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah To’ Puan Anizal binti Yusoff, isteri kepada Pengurus Besar KETENGAH, Yang Mulia Dato’ Tengku Ahmad Nadzri bin Tengku Musa, yang turut memeriahkan lagi suasana majlis.

Persatuan Pesara KETENGAH kini diterajui oleh Tuan Haji Omar bin Ismail, mantan Pengurus Besar KETENGAH, yang terus memainkan peranan aktif dalam menyatukan bekas warga kerja serta memastikan kebajikan ahli persatuan sentiasa terpelihara.

Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti santai telah diadakan termasuk sesi ramah mesra, perkongsian pengalaman serta imbas kembali kenangan sepanjang perkhidmatan. Suasana yang penuh mesra ini jelas menggambarkan semangat kekeluargaan yang masih utuh dalam kalangan warga KETENGAH walaupun telah bersara.

Penganjuran majlis seumpama ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai medium memperkukuh jalinan hubungan, selain menjadi tanda penghargaan berterusan kepada para pesara yang telah menyumbang kepada kecemerlangan dan pembangunan wilayah KETENGAH.