AL MUKTAFI BILLAH SHAH, DUNGUN, 19 April 2026 – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) terus komited dalam memperkukuh nilai integriti dalam kalangan warganya melalui penganjuran sesi ceramah bertajuk “Aplikasi Ihsan dalam Membentuk Integriti-53 Tahun Menjunjung Amanah” yang telah berlangsung di Dewan Utama, Ibu Pejabat KETENGAH, hari ini.
Program ini merupakan anjuran Unit Integriti KETENGAH dengan kerjasama Majlis Bersama Jabatan (MBJ), Kelab 3K, PUSPANITA Cawangan Kecil KETENGAH serta AKRAB KETENGAH sebagai usaha berterusan dalam membudayakan nilai murni dan etika kerja cemerlang dalam organisasi.
Ceramah telah disampaikan oleh YBrs. Ustazah Nazirah binti Abu Bakar, Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), yang menekankan kepentingan penghayatan konsep ihsan sebagai asas utama dalam membentuk integriti diri.
Dalam penyampaiannya, beliau memperkenalkan pendekatan akronim “JUJUR” sebagai panduan praktikal dalam kehidupan seharian, iaitu:
• J – Jaga bahawa Allah sentiasa memerhatikan setiap perbuatan
• U – Usaha sedaya upaya dalam melaksanakan amanah
• J – Jaga solat sebagai tunjang kekuatan diri
• U – Urus amanah dengan sebaik-baiknya
• R – Rasa takut akan hari pembalasan
Beliau turut menegaskan bahawa pengukuhan integriti tidak hanya terhad kepada aspek pekerjaan semata-mata, malah perlu diperkasa melalui amalan berterusan dalam kehidupan seharian. Sehubungan itu, beliau mengingatkan para hadirin dengan pesanan ringkas namun mendalam, iaitu “Jaga solat, jaga al-Quran dan jaga tahajud.”
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YBhg. To’ Puan Anizal binti Yusoff, Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kecil KETENGAH, barisan pengurusan serta warga kerja KETENGAH dan Ketengah Holding Sdn. Bhd.
Program seumpama ini diharapkan dapat terus memperkukuh budaya kerja berintegriti selaras dengan aspirasi organisasi dan agenda pembangunan negara.


















