logo-jata-ketengah

PORTAL RASMI

LEMBAGA KEMAJUAN TERENGGANU TENGAH

Karung Berkunci No 3, 23400,
Al Muktafi Billah Shah, Terengganu

Tel : 098231000 | Emel : ketengah@ketengah.gov.my

PENGLIBATAN AKTIF KOMUNITI SETEMPAT JAYAKAN SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-53 KETENGAH

11 April 2026 | Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun Ke-53 Penubuhan KETENGAH dan Kenduri Sekampung telah berlangsung dengan penuh meriah dan jayanya secara serentak di tiga parlimen iaitu Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman. Program ini merupakan acara kemuncak sekali gus penutup bagi keseluruhan sambutan ulang tahun yang telah bermula seawal jam 7.00 pagi dengan pelbagai pengisian menarik untuk segenap lapisan masyarakat.

Sambutan yang diterima daripada masyarakat setempat amat menggalakkan dan memberangsangkan, sekali gus mencerminkan hubungan erat antara KETENGAH dan komuniti di wilayahnya. Kehadiran ramai penduduk dari pelbagai peringkat umur menunjukkan sokongan padu terhadap peranan KETENGAH sebagai agensi pembangunan wilayah di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang sentiasa komited dalam memperkasa pembangunan sosioekonomi serta kesejahteraan rakyat.

Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti telah diatur dengan penglibatan menyeluruh komuniti setempat. Antaranya termasuk KETENGAH Fun Brisk Walk dan Cabutan Bertuah yang berjaya menarik penyertaan ramai peserta, selain Sukaneka dan Gotong-Royong Bersama Komuniti yang menyemarakkan semangat kerjasama serta memupuk nilai kebersamaan dalam kalangan penduduk.

Turut diadakan ialah program Ziarah Kasih yang menyantuni golongan memerlukan, serta Program Tukar Minyak Hitam anjuran GIATMARA yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat. Bagi golongan kanak-kanak, Pertandingan Mewarna bersama KEMAS menjadi platform mencungkil bakat serta kreativiti mereka dalam suasana yang ceria dan santai.

Selain itu, pengisian kerohanian seperti Majlis Sejenak Bersama Ilmu dan Solat Hajat turut diadakan bagi memohon keberkatan dan kesejahteraan berterusan kepada seluruh warga KETENGAH dan masyarakat setempat. Program kemudiannya diakhiri dengan Kenduri Sekampung Bersama KETENGAH yang menjadi simbolik kepada semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat tanpa mengira latar belakang.

Sepanjang penganjuran program ini, penglibatan aktif dan kerjasama erat daripada komuniti setempat amat membanggakan. Setiap aktiviti yang dirancang mendapat sambutan yang luar biasa, sekali gus membuktikan semangat kebersamaan, kesepakatan dan perpaduan yang kukuh dalam kalangan masyarakat.

YBhg. Dato’ Rozi bin Mamat, Pengerusi KETENGAH dalam ucapannya menyatakan bahawa, “Kita akan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat selaras dengan penekanan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), agar setiap agensi sentiasa memberikan perkhidmatan yang terbaik serta memahami keperluan semasa masyarakat di peringkat akar umbi.” Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis sambutan ini yang berlangsung di FELDA Jerangau Barat, Ajil, Hulu Terengganu.

Secara keseluruhannya, sambutan ulang tahun ke-53 ini bukan sahaja menjadi platform untuk meraikan pencapaian KETENGAH selama ini, malah turut memperkukuh hubungan antara agensi dan masyarakat. Ia juga mencerminkan komitmen berterusan KETENGAH dalam memacu pembangunan wilayah secara inklusif, mampan dan berimpak tinggi demi kesejahteraan rakyat pada masa kini dan akan datang.

Sekalung penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini, khususnya KEMAS, GIATMARA, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP), Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) FELDA Jerangau Barat dan JKKR FELDA Jerangau, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Kesihatan serta semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung, termasuk seluruh komuniti setempat yang telah memberikan sokongan padu sepanjang program berlangsung.