Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Pembangunan Luar Bandar

KETENGAH turut memeriahkan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang diadakan pada 12 Mei 2022 di INFRA dengan membawakan juadah istimewa dari Terengganu iaitu Nasi Dagang, Roti Keramat dan Keropok Lekor. Keenakan juadah berkenaan telah menarik tetamu yang datang di booth KETENGAH untuk merasai sendiri makanan yang cukup sinonim dengan masyarakat Terengganu itu.

Program yang mendapat sambutan dari pelbagai lapisan masyarakat menjadi medium penting bagi KETENGAH untuk menjalinkan kerjasama lebih luas dan strategik serta secara tidak langsung memperkenalkan organisasi ini kepada masyarakat luar Terengganu.

Bagi mereka yang belum mengetahui tentang Nasi Dagang, Roti Keramat dan Keropok Lekor, kami akan menerangkannya. Nasi Dagang Terengganu biasanya diperbuat daripada campuran beras dan beras pulut dan dimasak bersama-sama santan kelapa. Dihidangkan dengan kuah nasi dagang yang dimasak dengan menggunakan rempah khas (berlainan dengan rempah kari biasa). Ikan yang digunakan biasanya ikan aya hitam (ikan tongkol) yang bersaiz besar, dipotong. Selain itu acar timun disediakan.

Roti keramat merupakan kuih yang popular di pantai timur. Rasanya lazat dan rupanya seakan–akan cakoi. Walau bagaimanapun, tekstur roti keramat lain sedikit daripada cakoi dan lebih berat dan berisi.

Keropok Lekor atau keropok batang diberikan nama sempena cara pembuatannya. Pada zaman awal pembuatan keropok, orang kampung menggunakan isi ikan dicampur dengan tepung sagu. Apabila kedua-dua bahan dicampur dan diuli, adunan tersebut dihempuk-hempuk dan menghasilkan bunyi “kelepok”. Lama-kelamaan, perkataan “keropok” digunakan dan dijadikan nama kepada hidangan istimewa ini. Perkataan “lekor” bermaksud “lingkar” dalam bahasa Melayu Terengganu yang menggantikan ejaan “ar” kepada “or” di akhir suku kata. Oleh itu maksud Keropok Lekor ialah Keropok yang berlingkar. Keropok diperbuat daripada isi ikan laut dan campuran sagu dan sedikit garam. Terdapat juga keropok yang dicampurkan dengan tepung kanji. Keseluruhan ramuan tersebut akan diuli dan digentel panjang bertali, sebelum direbus didalam air panas. Kandungan ikan yang tinggi menjadikan keropok lekor sebagai makanan berprotin tinggi yang kaya dengan iodin semula jadi. Keropok lekor boleh dimakan segar sebaik sahaja diangkat dengan dicicah sos cili yang pedas.

Rata–rata pengunjung yang merasai juadah tradisional Terengganu ini berpuas hati dengan menu berkenaan kerana di bawa khas dari Terengganu.

Selamat Hari Raya Aildilfitri
Tahniah YB Dato’ Seri Dr. Haji Ahmad bin Said

Artikel Lain