Ketengah bantu mangsa banjir

DUNGUN – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) mengaktifkan bilik gerakan banjir di Bandar Al Muktafi Billah Shah, Bukit Besi dekat sini selepas sebahagian besar wilayahnya di daerah ini dan Kemaman mula dilanda banjir hari ini.

Pengerusi Besar Ketengah, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa berkata, pembukaan bilik gerakan banjir itu bertujuan untuk menyelaras bantuan kepada mangsa banjir di wilayah tersebut meliputi daerah Kemaman, Dungun dan Hulu Terengganu.

“Bilik gerakan ini beroperasi selama 24 jam dan sudah mula mengumpul maklumat penduduk di wilayah Ketengah yang menjadi mangsa banjir.

“Selain di ibu pejabat di Bandar Al Muktafi Billah Shah, kita juga membuka tiga cawangan bilik gerakan banjir di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu; Bandar Bukit Besi dekat sini dan Bandar Baru Cheneh, Kemaman,” katanya.

Terdahulu beliau ditemui selepas menyampaikan kit bantuan banjir kepada penduduk Kampung Pasir Raja, Hulu Dungun dekat sini hari ini.

Tengku Ahmad Nadzri berkata, Ketengah memilik lori, bot, kenderaan pacuan empat roda dan jengkaut yang akan digunakan untuk membantu agensi pengurusan bencana melakukan operasi membantu mangsa banjir.

Tambah beliau, Ketengah juga menyediakan kit bantuan banjir untuk kebajikan mangsa banjir di kawasan wilayahnya melibatkan peruntukan RM300,000.

“Setiap kit bantuan banjir bernilai RM100 tersebut mengandungi barangan keperluan seperti peralatan mandi, tuala dan makanan kering seperti biskut dan mee segera.

“Ia akan diedarkan kepada mangsa banjir sebaik mereka mendaftar masuk ke pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya.

Sumber : KOSMO

Ketengah Hulur Sumbangan kepada Mangsa Banjir
YB Senator Datuk Razali Idris melawat Kolej Ketengah

Artikel Lain