KETENGAH naik taraf Jalan Ibok-Seri Bandi

KEMAMAN, 17 Jun- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyalurkan peruntukan kepada Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) untuk menaik taraf Jalan Ibok-Seri Bandi bagi keselesaan terhadap pengguna jalan tersebut.

Pengerusi KETENGAH merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, tender bagi menaik taraf telah dikeluarkan pada 15 Jun dan akan ditutup pada 24 Julai ini.

Beliau berharap kontraktor G4 boleh menjalankan penaiktarafan ini dengan sempurna serta dibaiki dengan kadar segera.

Pada fasa pertama kerja-kerja menurap konkrit akan dijalankan terlebih dahulu supaya jalan tersebut lebih kukuh kerana terdapat aliran air di bawah jalan berkenaan.

“Ini disebabkan ada dua lapisan, satu kita akan simen dahulu. Terdapat juga mata air di kawasan tersebut. Kalau ikutkan dari segi teknikal ia tidak menepati seperti yang sepatutnya.

“Tender pun telah dibuka, dan selepas sebulan penilaian keputusan akan keluar pada 1 Ogos atau September. Jadi kalau dalam masa dua hingga tiga bulan, ia diharapkan siap bulan Disember,” katanya kepada pemberita di sini.

Ahmad Said berharap pihak kejuruteraan dapat melihat dan memastikan cara terbaik supaya perkara itu tidak berulang pada masa akan datang.

Projek berkenaan akan disegerakan dan dijangka siap sebelum tiba musim tengkujuh.

Sumber : Berita RTM

Think Tank@KKDW
Lawatan bermaklumat ke Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat, Selangor

Artikel Lain