PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRI 2020 OLEH PENGERUSI KETENGAH YB SENATOR DATUK RAZALI IDRIS

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam luar bandar sejahtera.

Saudara-saudari warga KETENGAH yang saya kasihi.

Alhamdulillah, kita akan bersama-sama menyambut 1 Syawal 1441 Hijrah. Bersyukur kita kerana telah berjaya melaksanakan ibadat puasa selama sebulan lamanya walaupun dalam senario sedikit berbeza di kala negara di landa krisis pandemik Covid-19. Pada tahun ini, umat Islam menjalani ibadah puasa dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan bermula 18 Mac yang lalu bagi memutuskan rantaian jangkitan wabak ini. 

Senario ini dialami seluruh dunia. Ramadan kali ini tidak kurang istimewanya. Malah, bagi saya ianya lebih istimewa berbanding tahun-tahun yang lalu buat kita semua. Sejak lebih sebulan yang lalu, kita bersama-sama berjihad melawan wabak Covid-19. Sepertimana ibadat puasa, kita dikehendaki berjihad melawan hawa nafsu. Kita telah melalui satu fasa yang banyak menguji kesabaran dan daya ketahanan kita. Kita menahan diri daripada melakukan perkara-perkara rutin di luar rumah. Ini merupakan satu jihad dan pengorbanan yang besar dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19 dalam masyarakat dan negara kita.

Alhamdulillah, pada hari ini kita bersyukur kerana kes-kes baharu telah menurun kepada puluhan kes sahaja. InsyaAllah, dengan usaha-usaha yang sedang giat dilakukan oleh para frontlinerskita dan juga disiplin kita semua dalam mematuhi PKP, kita akan dapat mengurangkan lagi kes-kes baharu Covid-19 ke tahap yang paling minima seterusnya dapat menjalani kehidupan dan kembali bekerja dalam norma baharu.

Kita masih belum menang dalam perang menentang Covid-19. Tetapi saya yakin, insyaAllah kita akan menang. Yang penting ialah jihad dan istiqamah secara bersama-sama oleh kita semua. Walaupun PKP dilanjutkan lagi sehingga 9 Jun seperti yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, ini tidak bermakna kita tidak boleh menyambut dan meraikan perayaan Aidilfitri. Aktiviti ziarah-menziarahi dibenarkan dalam kalangan jiran terdekat dan keluarga yang tinggal dalam negeri yang sama dengan had maksimum 20 orang pada satu-satu masa.

Kita juga harus agar elakkan diri daripada berada di tempat yang sesak atau tempat yang tertutup. Kalau nak bersembang dengan tetamu sekalipun pastikan kita menjaga jarak. Tidak perlu duduk terlalu rapat dan saya yakin kita semua faham akan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

Bermula 4 Mei sebahagian sektor dibenarkan beroperasi, oleh itu saya berharap kita semua melaksanakan tugasan selaku penjawat awam di samping bekerjasama dan komited dalam melawan Covid-19. Hal ini kerana, kita harus menjadi contoh kepada penduduk dalam Wilayah Ketengah dalam mematuhi SOP dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.

Sempena menyambut Syawal pada tahun ini, saya dan seisi keluarga mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf zahir dan batin serta mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun 1441 Hijrah kepada semua warga KETENGAH. Sama-sama kita jaga kita dan stay at home. Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamuálaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

Sekian, terima kasih.

(YB SENATOR DATUK RAZALI IDRIS)

PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRI 2020 OLEH PENGURUS BESAR KETENGAH TENGKU AHMAD NADZRI TENGKU MUSA
LAWATAN YBM KPLB 7 JUN 2020 KE KETENGAH

Artikel Lain