[TRDI] Sasar 50 ribu pelancong sebulan ke Tasik Kenyir Tahun Hadapan

https://www.trdi.my/sasar-50-ribu-pelancong-sebulan-ke-tasik-kenyir-tahun-hadapan

DUNGUN, 26 Disember – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) menyasarkan kehadiran seramai 50,000 pelancong domestik ke Tasik Kenyir setiap bulan pada tahun 2021.

Pengerusinya, Dato’ Razali Idris berkata beliau optimis sasaran berkenaan berupaya dicapai melalui promosi dan persiapan dilakukan.

Katanya, pihak Ketengah dengan kerjasama Persatuan Pelancongan dah merangka pelbagai program dengan lebih sistematik untuk menjayakan perancangan tersebut.

“Setiap bulan akan diadakan peristiwa atau program yang mempunyai kelainan berpandukan suasana cuaca.

“Ini bermakna selama dua belas bulan akan ada jadualnya yang tersendiri dengan idea-idea dari pihak persatuan,”ujar Razali.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pengerusi Ketengah Turun Padang Di Dewan Serba Guna di Kampung Padang Pulut, di sini hari ini.

Tambahnya lagi, sasaran itu juga berdasarkan kemasukan pelancong ke Tasik Kenyir sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) diumumkan.

“Sejak PKPP diumumkan, kemasukan pelancong domestik meningkat kepada 40 ribu sebulan dan semua rumah bot habis ditempah sehingga tahun hadapan.

“Kini bukan sahaja setiap hujung minggu pelancong datang ke Tasik Kenyir tetapi melibatkan hari biasa juga kerana pelancong suka bermalam di rumah bot sambil mengelilingi tasik,”ujar Razali.

Justeru itu katanya, pihak Ketengah akan meningkatkan khidmat dan produk-produk yang terdapat di Tasik Kenyir bagi menarik lebih ramai pelancong datang dengan mengambil kira situasi wabak pandemik Covid19.

Terdahulu, Razali menyampaikan bantuan peralatan kepada 23 peserta Program Peningkatan Pendapatan Penduduk(PPP) dan Program Pembangunan Usahawan (PPU) dengan peruntukan lebih RM200 ribu.

Sementara itu, sebanyak RM39 ribu turut diagihkan kepada 130 keluarga yang terjejas banjir bagi Zon Ketengah Jaya dan Bukit Besi dengan setiap orang menerima RM300.

Sumber : TRDI

Ketengah Prihatin
Ketengah Ambik Cakne

Artikel Lain