Karnival Usahawan Desa Zon Timur

Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar (Pelan Harapan) 2018-2022 telah menjadikan permerkasaan usahawan luar bandar sebagai salah satu agenda utama dengan jumlah usahawan luar bandar sehingga akhir tahun 2018 adalah seramai 83,693 orang yang terlibat dalam bidang seperti makanan, perkhidmatan, pertanian, pembuatan dan lain-lain. 

Tonggak II, Kajian Separuh Penggal (KSP), Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) iaitu Memperkukuh Pembangunan Inklusif dan Kesejahteraan Rakyat, menekankan kepada penyediaan peluang yang saksama bagi membolehkan rakyat mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi serta pembangunan secara inklusif.

Sasaran ini perlu dicapai melalui pelbagai strategi dengan salah satunya adalah meningkatkan kapasiti dan keupayaan isi rumah berpendapatan 40% terendah (B40) untuk menambah baik kebolehpasaran, produktiviti serta menggalakkan keusahawanan. Antara inisiatif yang digariskan di bawah strategi tersebut adalah menyediakan program pembangunan keusahawanan yang bersepadu serta menggalakkan penerimagunaan teknologi moden dan amalan terbaik.

Selaras dengan inisiatif berkenaan serta pelaksanaan Ekspo Inovasi dan Teknologi Desa (INOTEKDESA) 2018 yang telah memulakan pembinaan jaringan antara usahawan luar bandar dan pembekal mesin atau teknologi/inovasi terkini, maka penganjuran KUD 2019 diperbaharui dengan memperkemaskan objektif perlaksanaan seperti berikut:

  • Mempromosi serta menjadi salah satu medium untuk mewujudkan akses pasaran produk/perkhidmatan usahawan luar bandar kepada pemborong, pengedar dan pembeli selain mengadakan jualan secara terus kepada pengguna;
  • Memperkukuh dan melebarluaskan jaringan antara usahawan luar bandar dengan para pembekal mesin, peralatan atau teknologi/inovasi terkini bagi meningkatkan produktiviti serta kualiti produk/perkhidmatan mereka;
  • Meningkatkan daya saing dan kebolehpasaran produk luar bandar serta menerokai peluang pasaran baru yang lebih besar samaada dalam atau luar negara dengan pengurusan pemasaran secara sistematik; dan
  • Menjadi platform untuk mempromosi kemudahan serta insentif yang disediakan oleh sektor awam dan swasta yang dapat membantu perkembangan perniagaan usahawan luar bandar.

Di samping itu, dalam menjayakan pelbagai strategi di bawah Teras Ekonomi dan Teras Keusahawanan Pelan Harapan, edisi KUD kali ini juga akan memberi penekanan kepada memperkenalkan keusahawanan social enterprise serta fokus khusus untuk pembangunan usahawan wanita dan belia.

Sumber :https://www.kud.my/mengenai-kud-2019/

Majlis Solat Hajat, Bacaan Yasin dan Doa Selamat Sempena 46 Tahun KETENGAH
Karnival Usahawan Desa (KUD) Zon Timur

Artikel Lain